Ketegasan Dr Akmal mewakili pendirian UMNO keseluruhan - Asyraf Wajdi

Asyraf Wajdi ketika sidang akhbar selepas mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato Onn pada Jumaat.
Asyraf Wajdi ketika sidang akhbar selepas mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato Onn pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kenyataan dan sikap agresif Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh mendepani isu membabitkan isu stoking tertera kalimah ALLAH mewakili pendirian UMNO secara keseluruhan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, perkara tersebut telah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), sekali gus mendapat sokongan penuh semua ahli.

"Seluruh ahli MKT menyokong penuh pendirian Pemuda UMNO berkenaan isu kalimah ALLAH di stoking.

"UMNO terus kekal teguh dengan pendirian mempertahankan kesucian agama Islam dan perkara itu sememangnya matlamat perjuangan UMNO," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat MKT di Menara Dato Onn di sini pada Jumaat.

Sementara itu, ditanya berkenaan tindakan segelintir menteri Kabinet yang menegur sikap agresif Ketua Pemuda UMNO berkaitan isu berkenaan, Asyraf Wajdi menegaskan, perbuatan tersebut tidak menjejaskan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

Malah beliau menjelaskan, UMNO sebelum ini sudah meletakkan empat syarat penting yang perlu dipatuhi ketika membentuk kerajaan.

"Dua perjanjian yang ditandatangani dalam membentuk kerajaan (melibatkan) memulakan perundingan dan satu lagi perjanjian dalam membentuk Kerajaan Perpaduan.

"UMNO meletakkan syarat jangan sesekali meremehkan apa juga yang terkait dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan (menerusi) Perkara 3 (Perlembagaan Persekutuan), kepentingan dan keistimewaan Melayu dan bumiputera dalam Perkara 153.

Artikel Berkaitan:

"Ini teras akar utama yang menjadi syarat kepada pembentukan kerajaan dan saya kira setakat hari ini, pemimpin parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan termasuk menteri-menteri Kabinet juga menghormati pendirian tersebut," ujarnya.

Dalam pada itu Asyraf Wajdi berkata, sebagai parti yang menjadi benteng dan pemelihara kepada kedaulatan Islam dan kepentingan bangsa, UMNO tidak akan sesekali berkompromi dengan apa jua tindakan yang memperkotak-katikkan kesucian agama Islam.

"Demi memelihara keharmonian, kerukunan dan perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama, UMNO menyeru semua agar isu-isu mutakhir ini dijadikan sebagai sempadan dan pengajaran penting supaya tidak berulang kembali," menurutnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28