Kemarau luar biasa, KADA percepat pembenihan awan

Muhammad (tengah) menyampaikan bakul makanan kepada asnaf pada Majlis Iftar Bersama Pengerusi KADA di kediaman beliau pada Jumaat.
Muhammad (tengah) menyampaikan bakul makanan kepada asnaf pada Majlis Iftar Bersama Pengerusi KADA di kediaman beliau pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) membuat keputusan melakukan pembenihan awan lebih awal berikutan kemarau luar biasa di negeri ini yang mengakibatkan kerosakan serius tanaman padi.

Pengerusinya, Muhammad Hussin berkata, kemarau paling teruk dalam sejarah penubuhan KADA kira-kira 50 tahun lalu itu turut mengakibatkan lebih 5,000 hektar padi rosak.

Menurutnya, KADA mengenal pasti kira-kira 3,000 hektar sawah di bahagian Kota Bharu utara dan 2,500 hektar lagi di Kota Bharu selatan termasuk di Ketereh dan Kadok terjejas.

"Suhu panas yang meningkat setiap satu darjah celcius akan memberi kesan kepada kira-kira 10 peratus tanaman padi," katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar Bersama Pengerusi KADA pada Jumaat.

Media sebelum ini melaporkan KADA akan melaksanakan operasi pembenihan awan bagi menyelamatkan tanaman padi di kawasan seliaannya jika kemarau berlanjutan sehingga pertengahan April depan.

Operasi terbabit akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia dan difokuskan kepada kawasan tanaman yang tidak mempunyai punca air.

Beliau turut memaklumkan kawasan yang kering itu bergantung sepenuhnya kepada sumber air Kemubu yang kini tidak dapat menampung kerja-kerja mengairi tanah sawah berikutan kemarau.

Jelas beliau lagi, cuaca panas juga menyebabkan kira-kira 34 peratus daripada keseluruhan 26,833 hektar kawasan tanaman padi di bawah KADA dijangka terjejas.

Artikel Berkaitan:

Keadaan itu juga tambahnya akan mempengaruhi jumlah pengeluaran padi bagi musim penanaman kedua 2023.

"Pelbagai usaha dilakukan termasuk mengepam air dari sungai tetapi kekeringan sumber itu menyebabkan masalah tidak dapat diselesaikan," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad dijangka melakukan pertemuan bersama Exco Pertanian, Industri, Agro Makanan dan Komoditi Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail dalam usaha membantu petani.

"Insya-ALLAH, pertemuan akan dilakukan dalam masa terdekat kerana saya sudah menghubungi beliau untuk tujuan itu," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!