Manfaat puasa kepada penghidap gejala metabolik dan kesihatan usus

MASALAH kegemukan dan obesiti sering dikaitkan dengan gangguan mikrobiata usus. Gambar Pexels.com
MASALAH kegemukan dan obesiti sering dikaitkan dengan gangguan mikrobiata usus. Gambar Pexels.com
A
A
A

PUASA merupakan satu amalan yang telah dilaksanakan sejak Nabi Adam AS lagi seperti diriwayatkan oleh Ibnu Kathir iaitu berpuasa tiga hari setiap bulan.

Tiga hari puasa Nabi Adam AS itulah yang turut diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW yang dikenali sebagai puasa hari-hari putih iaitu pada 13, 14 dan 15 haribulan setiap bulan mengikut kalendar Islam.

Apakah yang menyebabkan puasa menjadi amalan para nabi? Mesti ada kelebihan dan kebaikannya dari sudut kesihatan.

Sinar Islam menemu bual Pegawai Perubatan, Perubatan Am, Hospital Universiti Sains Malaysia, Dr Nik Ahmad Hilmi Nik Zaid bagi mendapatkan penjelasan.

Menurut beliau, puasa merupakan satu amalan yang telah dilaksanakan oleh masyarakat pelbagai kaum meliputi bermacam-macam kaedah seperti puasa 12 jam, puasa 24 jam dan sebagainya.

DR NIK AHMAD HILMI
DR NIK AHMAD HILMI

“Sebagai contoh intermittent fasting atau IF, ia sendiri dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu alternate day fasting (puasa selang sehari) dan modified fasting regimen iaitu pengambilan kalori dihadkan sebanyak 20 peratus sahaja pada dua hari dalam seminggu.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, ada juga disebut sebagai Ramadan fasting iaitu berpuasa sekitar 12 jam sehari diikuti dengan berbuka,” ujarnya.

Kesan baik kepada gejala metabolik

Mengulas mengenai berpuasa dari sudut kesihatan badan manusia, Nik Ahmad Hilmi memberitahu, banyak manfaat yang akan diperolehi kepada seseorang yang berpuasa.

“Menurut kajian kesihatan yang dijalankan, amalan puasa secara amnya memberi banyak faedah kepada gejala metabolik atau metabolic syndrome.

“Gejala metabolik merupakan gangguan kesihatan yang terjadi berkaitan antara satu sama lain.

“Gangguan tersebut meliputi peningkatan tekanan darah tinggi, penompokan lemak di bahagian perut serta kenaikan kadar gula dalam darah, kolestrol dan trigliserida (sejenis lemak di dalam darah yang digunakan oleh tubuh untuk menyimpan tenaga),” jelasnya.

Katanya, seseorang yang dianggap menderita sindrom ini apabila dia mengalami tiga daripada lima keadaan kesihatan iaitu hipertensi, hiperkolesterolemia, trigliserida tinggi, diabetes dan obesiti.

“Puasa juga memberi kesan positif kepada mikrobiata usus yang merujuk kepada populasi mikroorganisma yang terpadat pada usus dan ia membantu fungsi penghadaman yang cekap.

“Selain itu, puasa turut memberi kesan baik kepada kecekapan metabolisme dalam badan dan mengurangkan risiko penyakit atherosclerosis yang berkaitan jantung dan strok,” katanya.

Tambah Nik Ahmad Hilmi, kajian juga menunjukkan amalan puasa boleh menurunkan berat badan dan secara tidak langsung mengurangkan risiko kanser payudara, usus dan prostat.

BERPUASA memberi kesan baik kepada penghidap gejala metabolik dan kesihatan usus manusia. Gambar Pexels.com
BERPUASA memberi kesan baik kepada penghidap gejala metabolik dan kesihatan usus manusia. Gambar Pexels.com

Ditanya mengenai manfaat puasa kepada usus, beliau menjelaskan, mengikut kajian, mikrobiata yang terdapat di dalam usus mempunyai ritma dan masa aktif mengikut edaran siang dan malam.

“Mikrobiata tersebut aktif pada waktu siang manakala ia bertukar menjadi pasif pada waktu malam.

“Pesakit yang obes dan penyakit atherosklerotic (penyumbatan pembuluh darah) biasanya mengalami gangguan mikrobioata usus.

“Ia merupakan gangguan metabolisme berserta kecenderungan obes mikrobiota usus dalam proses keradangan sistemik yang merupakan faktor utama obesiti dan penyakit atherosklerotic,” jelasnya panjang.

Kajian juga menunjukkan puasa mampu mengharmonikan metabolisme mikrobiata dalam usus dan mengurangkan penghasilan protein yang menjurus kepada keradangan, menurutnya.

Menjawab mengenai persoalan berpuasa makan sebelum sesuatu pembedahan dijalankan, lulusan Universiti Alexandria, Mesir itu berkata, amalan itu dilakukan bagi mengelakkan kemasukan makanan ke dalam rongga pernafasan semasa prosedur pembedahan terutamanya apabila dibius secara penuh.

“Jika pesakit tidak berpuasa sebelum melakukan pembedahan, dikhuatiri makanan tersebut boleh mengakibatkan jangkitan kuman dan radang pada paru-paru serta kebergantungan kepada mesin pernafasan akan menjadi lebih lama,” katanya.

BAGI pesakit GERD, elakkan makanan yang pedas, air berkarbonat serta makanan berlemak. Gambar Pexels.com
BAGI pesakit GERD, elakkan makanan yang pedas, air berkarbonat serta makanan berlemak. Gambar Pexels.com

Pesakit GERD, gastrik boleh berpuasa

Untuk persolaan mengenai penyakit refluks gastroesofagus (GERD) dan gastrik yang sering dikaitkan dengan orang yang berpuasa, beliau menjawab, kedua-dua penyakit tersebut boleh dikategorikan kepada tahap sederhana dan bahaya (high risk).

“Pesakit yang dikategorikan sebagai high risk merupakan pesakit yang pernah mengalamai pendarahan usus.

“Pesakit pada tahap sederhana boleh menjalankan puasa selepas konsultasi daripada doktor dan pengambilan ubat yang mengurangkan jus asid,” katanya.

Bagi mengelakkan serangan GERD, penjagaan makanan dan mengamalkan gaya hidup sihat perlu ditekankan.

“Kepada perokok, berhentilah merokok selain cuba kurangkan berat badan dan mengelakkan makanan yang pedas, air berkarbonat serta makanan berlemak.

“Saya nasihatkan pesakit untuk merujuk kepada doktor untuk sebarang rawatan lanjut bagi pesakit GERD dan gastrik yang teruk,” katanya.