Sebulan latih disiplin diri, kawal nafsu

Masa tepat untuk anggota badan lain turut berpuasa, bukan sekadar berlapar dahaga semata-mata

RAPATILAH diri kita dengan al-Quran kerana bulan Ramadan adalah bulan yang ramai bersungguh-sungguh menghidupkan hari dan hati mereka dengan al-Quran. Gambar Pexels.com
RAPATILAH diri kita dengan al-Quran kerana bulan Ramadan adalah bulan yang ramai bersungguh-sungguh menghidupkan hari dan hati mereka dengan al-Quran. Gambar Pexels.com
A
A
A

DALAM tempoh setahun, terdapat satu bulan yang dianugerahkan ALLAH SWT tanpa ada gangguan daripada syaitan iaitu bulan Ramadan yang sedang kita lalui sekarang ini.

Ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW: “Apabila datangnya Ramadan maka dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Amatlah rugi sekiranya kita sebagai umat Islam mensia-siakan bulan tarbiah ini.

Perkara ini turut dipersetujui pendakwah Ustaz Mohd Syahid Mohd Zaini dan beliau menjelaskan bulan Ramadan banyak mengajar kita untuk mendisiplinkan diri.

“Bulan inilah yang menjadi penanda aras untuk kita menilai kejahatan yang dilakukan itu sememangnya berpunca daripada diri kita sendiri, bukan daripada bisikan syaitan.

“Namun sekurang-kurangnya pada bulan Ramadan ini, jika kita mahu melakukan perkara yang salah, kita akan ingat dan sedar: ‘Sesungguhnya aku berpuasa’,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam.

USTAZ MOHD SYAHID
USTAZ MOHD SYAHID

Artikel Berkaitan:

Anggota badan turut berpuasa

Menurutnya, puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi ada juga adab-adabnya yang perlu dilaksanakan.

“Untuk menjadikan puasa itu sempurna, kita hendaklah menjaga lidah daripada dusta dan mengumpat serta membicarakan sesuatu yang tidak perlu baginya.

“Selain itu, kita juga hendaklah menjaga kedua-dua mata dan telinga agar tidak memandang dan mendengar sesuatu yang tidak halal atau sesuatu yang dianggap berlebihan.

“Antara lain anggota badan yang perlu dipelihara ialah kaki daripada pergi ke tempat yang mengundang kemaksiatan serta memelihara tangan daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang agama,” jelasnya panjang.

Jadi, sentiasalah mengawal kesemua anggota badan agar tidak melakukan dosa dan pandulah ia ke arah melakukan ibadah kepada ALLAH SWT termasuk mencari rezeki yang halal.

Katanya lagi, janganlah menjadi golongan yang rugi seperti yang disabdakan Rasulullah SAW: “Ramai orang yang berpuasa tetapi puasanya hanya menghasilkan lapar dan dahaga. (Hadis Riwayat Muslim)

“Maka beruntunglah bagi orang yang berpuasa yang menjaga anggota badannya selama sebulan, pasti kita akan merasai nikmatnya kerana anggota badan telah sebati dengan kebaikan.

“Ia adalah mujahadah yang hebat,” katanya.

Nasihatnya, amatlah rugi jika umat Islam tidak merebut peluang untuk memperbanyakkan amalan pada bulan Ramadan ini kerana Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Setiap amalan anak Adam akan digandakan, satu kebaikan digandakan dengan sepuluh kali sehingga tujuh ratus kali ganda.” (Hadis Riwayat Muslim)

SENTIASALAH mengawal kesemua anggota badan agar tidak melakukan dosa dan pandulah ia ke arah melakukan ibadah kepada ALLAH SWT. Gambar Pexels.com
SENTIASALAH mengawal kesemua anggota badan agar tidak melakukan dosa dan pandulah ia ke arah melakukan ibadah kepada ALLAH SWT. Gambar Pexels.com

Graduan Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya itu turut menjelaskan, puasa juga adalah bulan untuk mentarbiah hati, mendidik diri untuk ikhlas dalam melakukan amal ibadah, melatih kekentalan jiwa dan kesabaran serta membersihkan jiwa, hati dan nurani.

“Kita juga boleh menanam sifat perihatin dan ihsan dengan menyahut galakan agama untuk memberi makan pada orang berpuasa, tidak kikir, mudah bersedekah dan menepati tuntutan berzakat.

“Rapatilah diri kita dengan al-Quran kerana bulan Ramadan adalah bulan yang ramai bersungguh-sungguh menghidupkan hari dan hati mereka dengan al-Quran,” katanya.

Doa orang berpuasa mustajab Mengulas mengenai waktu mustajab doa iaitu waktu sebelum berbuka puasa, Mohd Syahid menjelaskan antara tiga doa yang tidak ditolak termasuklah doa orang yang berpuasa sehingga dia berbuka seperti mana hadis Rasulullah SAW.

“Tiga doa yang tidak akan ditolak iaitu doa orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, doa pemimpin yang adil dan juga doa orang yang dizalimi.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

“Doa orang yang berpuasa dikatakan mustajab kerana mereka mempunyai kedudukan yang tinggi dan istimewa di sisi ALLAH SWT.

“Tambahan pula ALLAH amat suka kepada hamba-NYA yang sentiasa berdoa memohon kepadanya dalam apa jua keadaan. Untuk itu, sebagai orang yang beriman, ambillah kesempatan ini dalam mengecapi tawaran yang berharga itu,” ulasnya.

Ucapnya, berdoalah apa sahaja doa yang kita hajati sebelum berbuka puasa termasuklah berdoa sebelum bersahur.

“Ambillah kesempatan untuk solat paling kurang dua rakaat sebelum makan sahur dan pada masa itu berdoalah bersungguh-sungguh untuk kebaikan dunia dan akhirat kita,” ungkapnya.

BERHEMAH dalam berbelanja pada bulan Ramadan merupakan antara cara untuk melatih diri berdisiplin dan mengawal nafsu. - Gambar Hiasan/Gambar Pexels.com
BERHEMAH dalam berbelanja pada bulan Ramadan merupakan antara cara untuk melatih diri berdisiplin dan mengawal nafsu. - Gambar Hiasan/Gambar Pexels.com

Sebelum menutup bicara, beliau menasihatkan umat Islam agar sentiasa peka dan simpati dengan keadaan dan nasib saudara kita di Palestin yang kini berada dalam tempoh kritikal.

“Ambillah ibrah (pengajaran) daripada keadaan mereka sekarang, maka kita akan bersederhana dalam membeli juadah berbuka puasa agar tidak berlaku pembaziran.

“Dalam persiapan dan menanti detik Syawal pula, kawallah nafsu agar tidak berbelanja secara berlebihan,” jelasnya.