Dua pengurus kilang oleokimia ditahan cemari Sungai Tukang Batu

JAS Johor menahan dua pengurus kilang bagi membantu siasatan berhubung pelepasan efluen perindustrian ke longkang awam dan mencemarkan Sungai Tukang Batu. - Foto: JAS Johor
JAS Johor menahan dua pengurus kilang bagi membantu siasatan berhubung pelepasan efluen perindustrian ke longkang awam dan mencemarkan Sungai Tukang Batu. - Foto: JAS Johor
A
A
A

PASIR GUDANG - Dua pengurus sebuah kilang berasaskan oleokimia di kawasan Perindustrian Pasir Gudang dekat sini ditahan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, pada Khamis.

Pengarah JAS negeri, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, penahanan pengurus besar dan pengurus pengeluaran kilang terbabit dibuat bagi membantu siasatan pelepasan efluen perindustrian ke longkang awam yang mencemarkan Sungai Tukang Batu.

Menurutnya, kedua-dua lelaki tempatan berusia 44 dan 38 tahun itu ditahan di premis terbabit pada jam 5 petang sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam.

"Pada Isnin, JAS Johor menerima aduan awam berhubung pencemaran efluen perindustrian berwarna putih ke longkang awam dan seterusnya ke sungai berkenaan.

"Susulan itu, JAS Cawangan Pasir Gudang bertindak menjalankan siasatan dan mendapati masih terdapat pelepasan efluen perindustrian berwarna putih serta berbuih pada keesokan harinya.

"Seterusnya pada kira-kira jam 8 pagi, Khamis, JAS Cawangn Pasir Gudang menerima aduan berhubung pelepasan air berwarna hitam di lokasi aduan yang sama," katanya dalam satu kenyataan pada malam Khamis.

Jelas beliau, penahanan dua individu itu dibuat mengikut Seksyen 37C(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Kes disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

Pada 5 Mac lalu, akhbar melaporkan Sungai Tukang Batu adalah salah satu daripada empat sungai di sekitar kawasan perindustrian Pasir Gudang yang dikesan dalam keadaan tercemar dan berada dalam tahap yang membimbangkan.

Artikel Berkaitan:

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon dilaporkan berkata, pemeriksaan yang dibuat JAS Johor mendapati sungai berkenaan berada di tahap tiga dan empat.

Beliau berkata, tiga sungai lain yang turut dikesan tercemar ialah Sungai Perembi, Sungai Buluh dan Sungai Kim Kim yang terletak di dalam kawasan perindustrian tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!