KPWKM cadang bangunkan sistem e-pemfailan mangsa gangguan seksual salur aduan

Nancy Shukri ketika sidang akhbar pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Anggota Tribunal Bagi Antigangguan Seksual di kementeriannya hari ini. - Foto: Bernama
Nancy Shukri ketika sidang akhbar pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Anggota Tribunal Bagi Antigangguan Seksual di kementeriannya hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bercadang membangunkan sistem e-pemfailan (e-filing) yang membolehkan lebih ramai mangsa gangguan seksual yang berada di luar Putrajaya memfailkan aduan kepada Tribunal Antigangguan Seksual.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ketika ini kaunter aduan tribunal telah beroperasi di Aras G, KPWKM di sini sejak 11 Mac lepas dan bersedia untuk menerima aduan bagi perbuatan gangguan seksual yang berlaku pada atau selepas 8 Mac 2024, iaitu tarikh kuat kuasa Akta Anti Gangguan Seksual 2022 (Akta 840).

"Kita dalam proses nak buat (sistem e-pemfailan) supaya ia membolehkan mangsa dari negeri-negeri lain untuk turut melapor di mana saja mereka berada.

"Akta Anti Gangguan Seksual 2022 terpakai di seluruh negara, jadi sementara menunggu sistem itu siap, mereka (mangsa) kena datang ke Putrajaya untuk buat laporan atau aduan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Anggota Tribunal bagi Antigangguan Seksual, di sini hari ini.

Beliau berkata, Tribunal bagi Antigangguan Seksual menyediakan satu saluran alternatif kepada mahkamah sivil untuk mengendalikan aduan gangguan seksual dengan cepat, mudah dan kos yang minimum bagi mangsa mengambil tindakan terhadap pelaku untuk mendapatkan hak tebus rugi akibat daripada gangguan yang dialami.

Beliau berkata matlamat tribunal itu adalah untuk mendengar dan mengadili aduan gangguan seksual dengan bebas, adil dan saksama.

"Sukacita ingin saya jelaskan bahawa penubuhan tribunal ini bukanlah bertujuan untuk mengambil alih fungsi mahkamah, sebaliknya memberikan pilihan kepada mangsa sama ada membuat aduan di tribunal atau pun mengambil tindakan sivil di mahkamah.

"Seksyen 8 Akta 840 menyatakan bahawa tiada pertindihan bidang kuasa di antara tribunal dan mahkamah sivil. Dalam masa yang sama, mangsa masih boleh membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan agar tindakan jenayah dapat diambil terhadap pelaku," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Presiden Tribunal bagi Antigangguan Seksual Syafeera Mohd Said berkata kes yang dibawa ke tribunal akan diselesaikan dalam tempoh 60 hari dari tarikh hari pertama pendengaran dibuat.

Menerangkan proses sesuatu kes dikendalikan, Syafeera berkata mangsa atau pengadu perlu datang ke kaunter aduan dan memfailkan aduan dengan bayaran dikenakan RM30 bagi satu aduan.

"Menurut akta ia memerlukan tempoh 14 hari untuk menyerahkan borang aduan kepada responden dan responden perlu membalas dengan pembelaan dalam tempoh 14 hari bekerja.

"Kemudian kami akan serah notis pendengaran kepada kedua-dua pihak untuk hadir ke tribunal bagi pendengaran kes dan dalam tempoh itu kedua-dua pihak tidak boleh diwakili peguam.

"Selepas pendengaran, award akan diberikan sekiranya gangguan seksual terbukti dengan tebus rugi atau pampasan maksimum ialah RM250,000, selain permohonan maaf juga perlu dibuat," katanya dan menambah jika ada antara responden atau pengadu tidak berpuas hati dengan keputusan tribunal, mereka boleh memfailkan semakan kehakiman di mahkamah.

Pasa majlis itu, Nancy menyerahkan Watikah Pelantikan Anggota Tribunal kepada 30 individu yang dilantik mengikut peruntukan di bawah Seksyen 4 Akta Anti Gangguan Seksual 2022.

Pelantikan anggota tribunal itu terdiri daripada individu dengan pelbagai latar belakang profesion dalam kalangan sektor awam, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan.

Anggota tribunal yang dilantik bertanggungjawab mendengar dan melaksanakan proses pendakwaan atau pengadilan terhadap setiap aduan berkaitan gangguan seksual. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!