Gangguan seksual: Polis belum terima laporan mangsa

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis belum menerima laporan berkaitan video tular memaparkan seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual di kawasan parkir sebuah pusat beli belah dekat sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya mengesan video berkenaan dimuat naik menerusi laman Twitter oleh seorang individu.

"Siasatan awal berdasarkan video berkenaan mendapati kejadian dikatakan telah berlaku di kawasan tempat letak kereta sebuah pusat beli belah dekat Pusat Bandar Damansara, Kuala Lumpur.

"Semakan setakat ini mendapati tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan kejadian," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, orang awam dinasihatkan untuk tidak membuat apa-apa spekulasi berhubung dengan video yang tular ini.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil bagi membuat laporan polis.

"Sebarang maklumat jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya.

Pada Jumaat, tular satu hantaran video di media sosial memaparkan seorang individu didatangi individu tidak dikenali di kawasan parkir kenderaan di sebuah pusat beli belah di sini.

Artikel Berkaitan:

Menerusi video terbabit, individu berkenaan mendakwa mengenali wanita itu selain menyatakan memiliki nombor telefon mangsa.

Bagaimanapun, perbuatan individu terbabit menimbulkan ketakutan kepada mangsa mengakibatkan mangsa bersama rakannya cuba menjauhkan diri daripada lelaki itu.