Persatuan Aktivis Sahabat Alam syor pinda Akta Perhutanan Negara 1984

KUASA mengesyorkan pindaan dibuat terhadap Akta Perhutanan Negara 1984 bagi menambahkan satu kelas hutan baharu di bawahnya iaitu kelas hutan komuniti. Gambar kecil: Hafizudin
KUASA mengesyorkan pindaan dibuat terhadap Akta Perhutanan Negara 1984 bagi menambahkan satu kelas hutan baharu di bawahnya iaitu kelas hutan komuniti. Gambar kecil: Hafizudin
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) mengesyorkan satu pindaan dibuat terhadap Seksyen 10 (1) Akta Perhutanan Negara 1984 bagi menambahkan satu kelas hutan baharu di bawahnya iaitu kelas hutan komuniti.

Pengerusinya, Hafizudin Nasarudin berkata, ia bagi memenuhi kepentingan komuniti yang tinggal di dalam atau berhampiran hutan simpanan kekal berdasarkan beberapa prinsip.

Menurutnya, hutan komuniti akan menyokong cara hidup tradisional bagi menampung keperluan sosioekonomi, menjana pendapatan masyarakat desa melalui penghasilan produk bukan berasaskan kayu balak, pengekalan budaya, aktiviti eko-pelancongan komuniti, pendidikan dan konservasi hutan.

“Kebenaran kepada komuniti untuk akses kawasan dan sumber hutan simpan secara lestari dengan kawalan yang ditetapkan di bawah undang-undang serta garis panduan perhutanan.

“Hal ini bagi memenuhi keperluan hidup dan sosioekonomi seperti sumber tadahan air, tanah pembukaan rumah khusus bagi Orang Asli, menuai hasil hutan untuk makanan, perubatan, peralatan, alat budaya, bercucuk tanam dan menghasilkan produk hutan bukan berasaskan kayu balak (NTFP) yang lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Hafizudin turut menjelaskan prinsip untuk membina kapasiti pengurusan hutan komuniti berdasarkan ‘guna dan kembalikan’ iaitu penggunaan sumber di dalam hutan simpan.

Ujarnya, masyarakat harus menyediakan latihan dan bantuan teknikal untuk melengkapkan wagra tempatan dengan kemahiran serta pengetahuan yang diperlukan.

“Ia untuk pengurusan hutan, aktiviti konservasi, penanaman semula selain menjana nilai keusahawanan daripada produk hutan secara lestari.

Artikel Berkaitan:

“Ia haruslah digiatkan dengan aktiviti pengayaan semula hutan,” tambahnya.

Selain itu, kata Hafizudin, pemilihan dan pengezonan kawasan sebagai hutan komuniti perlu mengelakkan kawasan yang amat sensitif terhadap sebarang aktiviti komuniti.

Jelasnya, ia bagi mengelakkan kemusnahan ekosistem, kemerosotan sumber, pencemaran dan gangguan lain terhadap dirian atau struktur asal hutan serta kepelbagaian biologi.

“Penubuhan hutan komuniti ini mampu memberikan penyelesaian yang holistik kepada pengurusan hutan negara bagi memastikan penggunaan sumber hutan yang mampan.

“Selain memperkemaskan lagi urus tadbir pengurusan hutan, pada masa sama ia memberi manfaat kepada kehidupan dan sosioekonomi komuniti Orang Asli, nelayan dan warga desa,” jelasnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28