Pinda Akta 522, elak kartel beras terus ‘berkuasa’ - PPBMM

PPBMM) mendesak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan segera membuat pindaan atau penambahbaikan terhadap Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994 (Akta 522) bagi menamatkan sabotaj bekalan beras tempatan ketika ini. Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohd Termizi)
PPBMM) mendesak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan segera membuat pindaan atau penambahbaikan terhadap Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994 (Akta 522) bagi menamatkan sabotaj bekalan beras tempatan ketika ini. Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohd Termizi)
A
A
A

ALOR SETAR - Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM) mendesak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan segera membuat pindaan atau penambahbaikan terhadap Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994 (Akta 522) bagi menamatkan sabotaj bekalan beras tempatan ketika ini.

Pengerusi PPBMM, Mohd Termizi Yoep berkata, ini kerana rakyat terpaksa menanggung beban harga beras yang terlalu tinggi akibat daripada sabotaj kartel-kartel beras.

Menurutnya, penguatkuasaan akta yang lemah serta memihak kepada kartel-kartel tersebut menyebabkan kilang-kilang kecil dan pemborong kecil juga semakin lenyap dalam industri.

“PPBMM mahu kerajaan segera menguatkuasakan serta memulihkan kembali industri yang telah ‘rosak’ ini.

“Hanya berbaki 11 buah kilang Melayu di seluruh negara dengan keupayaan yang rendah di tambah pula tiada perhatian khusus kerajaan kepada kilang-kilang Melayu, selain permasalahan dan bebanan ketika ini akan lenyaplah kilang Melayu yang wujud sejak era Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) lagi,” katanya di sini pada Isnin.

Mohd Termizi berkata, penipuan yang dilakukan kartel ini telah berlaku sejak Jun tahun lepas namun mereka seolah-olah kebal daripada tindakan undang-undang.

“Apakah dengan alasan harga padi tinggi yang ditawarkan kepada pesawah membolehkan mereka sewenang-wenangnya menjual beras pada harga tinggi dengan menukar kepada kampit beras import?

“Untuk memonopoli bekalan padi tempatan, kilang-kilang kartel membeli padi sehingga RM2,050 metrik tan daripada pesawah sedangkan harga ditetapkan kerajaan RM1,300 metrik tan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kartel menguasai bekalan padi sehingga 100,000 metrik tan setiap kilang setahun berbanding kilang-kilang kecil hanya mampu sekitar 10,000 metrik tan setahun.

“Mustahil untuk jual beras tempatan pada harga kawalan RM26 bagi sekampit 10 kilogram (kg) akibat harga padi tinggi.

“Pastinya akan berlaku penipuan menjual beras tempatan tersebut dengan menukar kampit kepada beras Super Import yang tiada harga kawalan oleh kerajaan,” jelasnya lagi.

Mohd Termizi berharap aspek lain turut diberikan perhatian oleh kerajaan dalam membanteras penguasaan kartel.

“Antaranya, mengehadkan kuota bekalan padi setiap kilang bagi mengelakkan monopoli. Tumpuan juga harus diberikan dalam membantu pemborong Melayu mendapatkan jaminan bekalan beras tempatan daripada kilang-kilang,” ujarnya.

Menurutnya, kerajaan perlu mengawal lebih ketat bekalan beras import dalam negara bagi memberi peluang kepada pemborong kecil Melayu mendapatkan jaminan bekalan tanpa birokrasi melampau.

Pada Sabtu, Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal memaklumkan, terdapat kartel beras putih tempatan melibatkan empat hingga lima syarikat di negara ini dipercayai bertindak mengawal jual beli padi dan makanan ruji itu sehingga berlaku kekurangan bekalan di pasaran serta peningkatan harga.

Beliau akan membentangkan isu berkenaan dalam mesyuarat NACCOL pada 20 Mac ini supaya kerajaan boleh mengambil tindakan serius terhadap syarikat terlibat

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!