Sistem PADU: Data selamat atau bocor maklumat?

Sistem PADU dibuka kepada pengguna bermula 1 Januari hingga 31 Mac 2024 bagi tujuan kemas kini dan pengesahan maklumat individu. Gambar fail Bernama
Sistem PADU dibuka kepada pengguna bermula 1 Januari hingga 31 Mac 2024 bagi tujuan kemas kini dan pengesahan maklumat individu. Gambar fail Bernama
A
A
A

SISTEM Pangkalan Data Utama (PADU) dibangunkan supaya menjadi sumber rujukan utama kerajaan dalam merancang sosioekonomi dan menyusun dasar-dasar negara secara lebih terperinci.

Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, kerajaan memerlukan maklumat yang tepat mengenai keadaan sosioekonomi setiap keluarga, tidak cukup hanya dengan maklumat nama dan tempat tinggal.

Sistem PADU dibuka kepada pengguna bermula 1 Januari hingga 31 Mac 2024 bagi tujuan kemas kini dan pengesahan maklumat individu.

Data dan maklumat yang dikemukakan dalam sistem berkenaan akan dianalisis berdasarkan kes gunaan untuk menentukan kumpulan sasar bagi penyasaran semula subsidi bermula 1 April nanti.

Seramai 6.03 juta daripada 30.08 juta rakyat Malaysia telah mengemas kini data di sistem berkenaan setakat Rabu.

Tinjauan Sinar Harian mendapati pelbagai maklum balas diterima berhubung rakyat Malaysia yang tidak yakin tentang sistem berkenaan.

Ada yang bersetuju bahawa sistem tersebut selamat daripada pelbagai kebocoran maklumat, malah tidak kurang juga yang berpandangan sebaliknya.

SOKONG

Sistem PADU dicipta oleh kerajaan, jadi maklumat peribadi selamat

Artikel Berkaitan:

Saya yakin dengan sistem PADU ini kerana ia melibatkan pangkalan data untuk kerajaan dan ia dicipta khas untuk rakyat Malaysia.

Berdasarkan apa yang dimaklumkan atau dihebahkan, sistem tersebut berperanan untuk memastikan setiap orang menerima manfaat berbentuk bantuan atau perlindungan sekiranya layak menerima pelbagai intensif kerajaan yang memfokuskan rakyat.

Ia juga mengandungi profil individu dan pengenalan diri yang menpunyai semua data warganegara serta pemastautin tetap berumur 18 tahun ke atas di Malaysia.

Sistem PADU ini memfokuskan dan memudahkan urusan kerajaan untuk pemberian subsidi dan bantuan kepada mereka yang layak.

Sekiranya masih ramai yang takut dengan kebocoran data, banyak lagi platform atau aplikasi memerlukan kita mengisi maklumat peribadi.

Sebagai contoh, kita menggunakan aplikasi MySejahtera semasa pandemik Covid-19.

Saya mendaftar sistem PADU ini sejak Januari lalu dan tiada sebarang masalah sepertimana yang ditularkan di media sosial.

Justeru, saya sarankan kepada orang ramai untuk mendaftar sebelum tarikh akhirnya pada 31 Mac ini supaya kita menerima bantuan yang akan diperuntukan kepada rakyat.

- Penolong Pegawai Pertanian, Muhammad Shahrul Ariffin Sadio, 33

Penolong pegawai pertanian, Muhammad Shahrul Ariffin Sadio.
Penolong pegawai pertanian, Muhammad Shahrul Ariffin Sadio.

Saya yakin dengan tindakan kerajaan menyediakan sistem PADU ini untuk memudahkan golongan tertentu menerima bantuan.

Walaupun banyak perkara negatif yang dihebahkan di media sosial, saya percaya bahawa kerajaan akan membangunkan sistem yang memberi manfaat kepada semua pengguna.

Saya juga mempercayai bahawa sistem ini tidak akan berlaku sebarang kebocoran maklumat kerana ia dicipta khas oleh pihak kerajaan.

Bantuan atau insentif juga akan diberikan oleh kerajaan kepada rakyat Malaysia, sebab itu kita perlu mendaftar supaya ia memudahkan banyak pihak.

Pendaftaran sistem ini tanpa paksaan atau suruhan mana-mana pihak dan ia benar-benar akan membantu pengguna dalam pemberian sumbangan bersasar.

Selain itu, saya turut berpeluang untuk membantu ahli keluarga mendaftarkan diri ke dalam sistem ini.

Saya beritahu mereka bahawa tiada kebocoran maklumat berlaku sepanjang saya mengemas kini data peribadi di sistem berkenaan.

Saya berharap orang ramai akan mendaftar sebelum tempoh pendaftaran tamat hujung bulan ini supaya kita menjadi rakyat yang bertanggungjawab.

- Pelajar, Maleni J Jayasankar, 24

Pelajar, Maleni J Jayasankar.
Pelajar, Maleni J Jayasankar.

BANGKANG

Kerajaan perlu yakinkan rakyat daftar PADU

Sejujurnya, saya masih belum mendaftar sistem PADU ini kerana tidak yakin dengan penggunaannya.

Bagi saya, sekiranya seseorang itu mudah untuk mengisi sebarang maklumat di dalam talian, kebocoran maklumat lebih senang berlaku.

Kebocoran maklumat itu berlaku semasa permulaan sistem ini dilancarkan dan ada bukti ia senang digodam.

Maklumat peribadi kita seperti alamat kediaman, nombor kad pengenalan, jumlah pendapatan dan sebagainya ada di dalam sistem tersebut.

Walaupun sudah lebih 5 juta rakyat mendaftar, saya masih tidak mempercayai sistem tersebut walaupun tujuannya untuk membantu rakyat terutama golongan B40 dan M40.

Berbaki lagi beberapa hari sebelum pendaftaran sistem itu tutup, jadi pihak berkuasa masih sempat untuk memberi keyakinan kepada orang ramai terutama warga emas yang menetap di kampung.

Mereka ini mungkin tidak mengetahui untuk mendaftar sistem berkenaan lebih-lebih lagi tiada gajet di rumah.

Jadi, saya rasa kerajaan mungkin perlu melakukan satu kenyataan, memberi keyakinan dan demonstrasi pendaftaran kepada rakyat Malaysia yang mempunyai pandangan seperti saya berkaitan sistem tersebut.

- Jurutera perisian syarikat swasta, Muhammad Fazaile Mohd Faisal, 36

Jurutera perisian syarikat swasta, Muhammad Fazaile Mohd Faisal
Jurutera perisian syarikat swasta, Muhammad Fazaile Mohd Faisal

Bagi saya, kebocoran maklumat boleh berlaku sekiranya ada pihak tidak bertanggungjawab yang ‘menjual’ atau menggunakannya untuk kepentingan diri sendiri.

Saya juga agak takut sekiranya maklumat peribadi bocor atau mana-mana akaun digodam kerana masih ramai yang tidak biasa dengan sistem tersebut.

Saya akan yakin dan berdaftar sekiranya kerajaan berjaya memastikan tiada mana-mana individu yang mengalami kebocoran maklumat peribadi sepanjang sistem tersebut berkuat kuasa nanti.

Disebabkan saya seorang pengguna media sosial, saya dapati sistem PADU ini tidak banyak hebahan dilakukan di mana-mana platform digital.

Oleh itu, kerajaan perlu menjalankan inisiatif untuk meyakinkan orang ramai terutama golongan yang berumur 20-an dengan menggunakan mana-mana aplikasi dalam talian.

Mungkin dengan cara itu, ramai yang akan secara sukarela mendaftar walaupun masih belum percaya sepenuhnya dengan sistem berkenaan.

Selain itu, saya berpandangan bahawa zaman moden sekarang ini wujud pelbagai jenis aplikasi atau perisian yang mudah untuk menggodam maklumat peribadi.

Jadi, saya berharap pihak kerajaan boleh menyakinkan orang ramai untuk mendaftar sistem ini sebelum tarikh akhirnya pada 31 Mac depan.

- Pelajar, Fatin Nur Quraisha Ab Latif, 24

Pelajar, Fatin Nur Quraisha Ab Latif.
Pelajar, Fatin Nur Quraisha Ab Latif.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

@sinarharianonline

Sistem PADU: Data selamat atau bocor maklumat? #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Semasa #Nasional #PADU #Maklumat #Sosioekonomi #Keluarga

Earned It (Fifty Shades Of Grey) - A Tribute to The Weeknd - Saxtribution