KPDN pantau 5,564 bazar Ramadan seluruh negara

Fuziah (dua dari kiri) mengadakan lawatan di Bazar Ramadan Rahmah dan Pelancaran Program MySaveFood di Bazar Ramadan Sungai Besar, di sini pada Rabu.
Fuziah (dua dari kiri) mengadakan lawatan di Bazar Ramadan Rahmah dan Pelancaran Program MySaveFood di Bazar Ramadan Sungai Besar, di sini pada Rabu.
A
A
A

SABAK BERNAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melaksanakan pemantauan terhadap 5,564 bazar Ramadan seluruh negara sejak 12 Mac lalu.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, KPDN menerima sebanyak 22 aduan awam berhubung pelbagai kesalahan melibatkan pengusaha premis bazar Ramadan.

Menurut beliau, daripada jumlah aduan itu, sebanyak 16 aduan membabitkan kesalahan tiada tanda harga.

"Sebanyak enam kes lagi aduan membabitkan kesalahan menjual makanan pada harga mahal," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di Bazar Ramadan Rahmah dan Pelancaran Program MySaveFood di Bazar Ramadan Sungai Besar di sini pada Rabu.

Fuziah dalam pada itu memberitahu, sebanyak 14,423 premis diperiksa dalam 'Ops Pantau 2024' di seluruh negara.

Ujar beliau, daripada jumlah pemeriksaan itu, sebanyak 51 kes kumulatif melibatkan pelbagai kesalahan dikesan dengan nilai keseluruhan kompaun berjumlah RM288,395,57.

Tambah beliau, sebanyak 374 aduan pula diterima di seluruh negara dengan Selangor mencatatkan 127 aduan tertinggi berbanding negeri lain.

"Aduan di negeri lain antaranya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (57), Johor (33), Sabah (26) Melaka dan Perak masing-masing (21)," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Ops Pantau 2024 yang dilancarkan sejak 12 Mac 2024 memberi tumpuan kepada aspek utama antaranya kebersihan, pelabelan barangan, harga barangan, alat timbang dan penjualan.

Kira-kira 3,000 penguat kuasa KPDN digerakkan bagi memantau harga barang di seluruh negara.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28