8.1 tan makanan, minuman diselamatkan di bazar Ramadan seluruh negara

Fuziah (dua dari kanan) menyerahkan topi Rahmah kepada salah seorang peniaga semasa lawatannya dan Majlis Pelancaran Program MySaveFood di Bazar Ramadan Sungai Besar di sini pada Rabu.
Fuziah (dua dari kanan) menyerahkan topi Rahmah kepada salah seorang peniaga semasa lawatannya dan Majlis Pelancaran Program MySaveFood di Bazar Ramadan Sungai Besar di sini pada Rabu.
A
A
A

SABAK BERNAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menyelamatkan 8.1 tan metrik makanan dan minuman di bazar Ramadan seluruh negara dalam tempoh enam hari berpuasa.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, jumlah itu membabitkan makanan dan minuman diselamatkan di bawah program MYSaveFood bernilai RM116,000.

Menurut beliau, kempen itu digerakkan kementeriannya dengan kerjasama rakan strategik Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia (GEMA).

"Pada tahun lalu sahaja kita telah melaksanakan MySaveFood di 55 bazar Ramadan dan telah berjaya menyelamatkan 25 tan makanan daripada terbuang dengan nilai RM281,000," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di Bazar Ramadan Rahmah dan Pelancaran Program MySaveFood di Bazar Ramadan Sungai Besar di sini pada Rabu.

Fuziah memberitahu, sebanyak 35 Gerakan Pengguna Siswa (GPS) di bawah KPDN digerakkan di seluruh negara bagi menjayakan program berkenaan.

Ujar beliau, GPS merupakan kelab pengguna di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

"Di Selangor ini kita ada tiga gerakan pengguna siswa yang terlibat dalam MySaveFood ini dan mereka dilatih untuk menjadi sukarelawan untuk mengumpul, membungkus dan mengagihkan makanan," jelas Fuziah.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, makanan dan minuman yang tidak habis dijual diagihkan secara percuma kepada golongan sasar seperti pelajar universiti, asnaf, gelandangan, rumah kebajikan dan rumah ibadah.

"Antara SOP (prosedur operasi standard) ditetapkan ialah setiap makanan yang didermakan itu masih elok dan boleh dimakan," katanya.

Dalam pada itu, katanya, beliau turut berkesempatan membuat lawatan ke inkubator keusahawanan mesin retort dan nox coffee dikendalikan sepenuhnya penuntut di Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS).

"Melalui penubuhan inkubator ini, aktiviti mesin retort dipelbagaikan dengan aktiviti keusahawanan dan penghasilan produk khas pelajar PSIS.

"Kesan penubuhan inkubator ini, satu produk pelajar dihasilkan melalui jenama S-PSIS Retort dan seterusnya hasil jualan produk di sumbangkan kepada Foodbank@PSIS serta digunakan dalam sumbangan khususnya kepada pelajar PSIS," kata beliau.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28