JKN Kedah keluar 127 notis kepada peniaga bazar Ramadan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengeluarkan 127 notis kompaun kepada pengendali makanan di bazar Ramadan sejak 12 Mac lepas hingga semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri Mansor Zakaria berkata, bagaimanapun jumlah nilai kompaun itu masih belum diperolehi.

"Notis itu dikeluarkan hasil pemeriksaan terhadap 687 premis makanan di 101 tapak bazar Ramadan di seluruh Kedah bagi minggu pertama...melibatkan Notis 32B, notis kepada pengendali yang tiada suntikan antitifoid dan notis kepada pengendali tiada latihan atau kursus pengendali makanan.

"Kita mahu pastikan sifar kes keracunan makanan yang dilaporkan berpunca dari bazar Ramadan serta memastikan makanan yang disediakan dan dijual adalah selamat dan mematuhi Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009,” katanya kepada pemberita di sini, pada Selasa.

Terdahulu, beliau melakukan pemantauan di Bazar Ramadan Stadium Darul Aman yang turut disertai Pemangku Pengarah JKN negeri, Dr Norizan Ahmad dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Datuk Mohd Yusri Md Daud.

Dalam pada itu, Mansor berkata, jumlah tapak bazar di Kedah tahun ini bertambah kepada 101 tapak berbanding 72 tapak pada tahun lepas manakala bilangan gerai bazar tahun ini adalah sebanyak 6,423 gerai berbanding 4,893 tahun lepas.

Pemeriksaan itu katanya, bertujuan melindungi kesihatan orang awam dan mempromosi amalan keselamatan makanan dalam kalangan peniaga dan pembeli.

"Aktiviti pemeriksaan ini juga meliputi premis pembekal bahan mentah dan pembekal ais kerana kita mahu pastikan aspek keselamatan makanan dipatuhi.

Artikel Berkaitan:

"Peniaga jangan terlalu mengejar keuntungan sehingga mengabaikan kualiti makanan atau minuman yang dijual, jangan ada kes keracunan kerana itu boleh mendatangkan kemudaratan kepada pembeli," katanya.

Beliau berkata, pembeli disarankan mengamalkan konsep ‘Lihat, Hidu dan Rasa’ sebelum menikmati juadah yang dibeli selain menyalurkan maklum balas atau aduan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan di bazar Ramadan menerusi kod QR yang disediakan jabatan itu. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!