Warga Bangladesh anjur iftar ala Dhaka bukan nak takluk masjid

Warga Bangladesh kumpul dana sendiri untuk sediakan juadah berbuka puasa yang dimasak secara bergotong-royong bagi dijamu kepada kira-kira 500 jemaah termasuk warga tempatan di Masjid Al-Azim Taman Semarak, Nilai, Negeri Sembilan.
Warga Bangladesh kumpul dana sendiri untuk sediakan juadah berbuka puasa yang dimasak secara bergotong-royong bagi dijamu kepada kira-kira 500 jemaah termasuk warga tempatan di Masjid Al-Azim Taman Semarak, Nilai, Negeri Sembilan.
A
A
A

TAK semua orang kita senang dengan kehadiran warga asing di negara ini termasuk dari Bangladesh.

Yelah, bukan sekali dua lokasi berkumpul mereka dikenali 'Mini Dhaka' diserbu pihak berkuasa.

Contohnya di Jalang Silang, Kuala Lumpur.

Sudahlah ramai yang berstatus PATI, ada pula yang buat jenayah di situ.

Namun lain pula halnya di masjid di Taman Semarak, Nilai, Negeri Sembilan.

Masjid itu bukan sahaja menjadi tumpuan warga Bangladesh, malah mereka dibenar menganjurkan majlis berbuka puasa setiap Sabtu dan Ahad sepanjang Ramadan ini.

Merak Jalanan dengar mereka kumpul sendiri duit RM3,000 untuk beli bahan dan bergotong-royong memasak di rumah ibadah itu.

Ahad lepas mereka masak 80kg daging, 10kg ayam dan 50kg beras, cukup untuk 500 orang makan.

Artikel Berkaitan:

Ada hari mereka masak nasi beriani dan menu-menu lain.

Merak Jalanan tahu ada orang kita masih ragu-ragu dan kata warga asing dah makin besar kepala dan cuba takluk masjid pula.

Pemikiran itu mungkin ada asasnya, cuma dalam bulan puasa ini Merak Jalanan cuba lihat perkara baik-baik sahaja.

Dari satu segi mereka ini saudara seagama kita, sanggup tinggalkan keluarga untuk cari rezeki di sini.

Lagipun sudah tiga kali bulan Ramadan mereka buat majlis berbuka di masjid itu.

Mereka banyak mengimarahkan masjid.

Macam di Taman Semarak, jumlah jemaah tempatan solat tarawih ada sekitar 150 orang saja, tapi masjid penuh saf bila ada majlis berbuka anjuran mereka.

Khabarnya mereka juga sanggup dipotong gaji dan jalan kaki jauh-jauh ke masjid semata-mata nak solat Jumaat.

Ikut kata pengerusi masjid di Taman Semarak, sejak warga Bangladesh itu dibenar terlibat dalam aktiviti masjid, masalah sosial seperti minum, maksiat dan jenayah dapat dikawal di perumahan flat di sana.

Apa pun dalam bersangka baik, kita berpada-padalah juga.

Kalau yang datang itu PATI, takkan hendak dibiarkan saja tanpa apa-apa tindakan!

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28