Iftar Ala Madinah@Karangkraf jimatkan belanja berbuka

Suasana meriah Iftar Ala Madinah @Karangkraf.
Suasana meriah Iftar Ala Madinah @Karangkraf.
A
A
A

SHAH ALAM - Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf yang menawarkan juadah berbuka puasa secara percuma memberikan kelegaan kepada orang ramai terutama kumpulan kurang berkemampuan.

Rata-rata pengunjung mengakui program anjuran Karangkraf itu membantu menjimatkan wang mereka daripada berbelanja membeli juadah di bazar Ramadan atau menyediakan makanan sendiri.

Pekerja swasta, Ridhuan Hadi, 42, berkata, dengan adanya majlis tersebut dia bersama isteri serta tiga anaknya dapat berjimat sekurang-kurangnya RM50 sehari untuk membeli juadah berbuka puasa.

"Semalam (Rabu) saya pergi bazar berbelanja dalam RM20, itu tidak termasuk anak remaja saya yang meminta wang untuk membeli juadahnya sendiri. Bayangkan kalau setiap hari pergi, tentunya guna banyak duit.

Dahliatinova (dua dari kanan) bersama adik perempuan dan abang serta anak-anak mereka.
Dahliatinova (dua dari kanan) bersama adik perempuan dan abang serta anak-anak mereka.

"Saya nampak hebahan berbuka puasa ini (menerusi media), jadi saya dan isteri ambil keputusan untuk berbuka puasa di sini. Bukan sahaja menjimatkan, ia juga mengajar kita erti bersederhana.

"Jadi, tidak perlu untuk keluarkan duit setiap hari kerana makanan yang disediakan di sini meskipun makanan asas ia mengenyangkan," katanya kepada Sinar Harian.

Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf 2024 bermula 13 Mac hingga 4 April terbuka kepada 1,000 tetamu sehari bagi memberi peluang kepada orang ramai merasai pengalaman berbuka puasa seperti di Masjid Nabawi, sekali gus mampu mengeratkan hubungan silaturahim sesama masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Program tersebut bermula pada jam 6 petang setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad di Dataran Karangkraf, Seksyen 15, di sini.

Pembantu tadbir, Dahliatinova Imran, 43, berkata, program tersebut sangat memberi manfaat kepada golongan berkeluarga selain pelajar dan individu bujang.

Ridhuan (kiri) bersama isteri dan tiga anaknya.
Ridhuan (kiri) bersama isteri dan tiga anaknya.

Jelasnya, dengan harga makanan yang semakin melambung tinggi, Iftar Ala Madinah itu merupakan satu platform terbaik bagi orang ramai menjimatkan perbelanjaan harian.

"Sangat menjimatkan, semua orang tahu harga makanan di bazar sekarang sangat mahal. Kalau dahulu murtabak sekitar RM5 hingga RM7, sekarang ada yang mencecah RM12. Air pun ada sehingga RM7, mana mampu nak membelinya.

"Jadi apa yang saya nampak, program ini sangat membantu golongan yang memerlukan. Ini termasuk bagi pekerja yang jauh nak pulang ke rumah yang mengambil masa sehingga satu atau dua jam," ujarnya.

Iftar Ala Madinah itu merupakan satu platform terbaik bagi orang ramai menjimatkan perbelanjaan harian.
Iftar Ala Madinah itu merupakan satu platform terbaik bagi orang ramai menjimatkan perbelanjaan harian.

Tambahnya yang hadir bersama adik, Fatimah Idayu Imran, 41, dan abang, Mohd Shahrul Imran, 45, ke Kompleks Kumpulan Karangkraf itu bukan sahaja mahu menikmati juadah yang disediakan, namun meluangkan masa mencipta memori baharu berbuka puasa beramai-ramai ala Madinah.

Juruteknik, Suhairul Nizam Zainal, 40, yang hadir bersama seorang bayi dan dua anak lelaki berkata, program berkenaan bukan sahaja menjimatkan wang namun ia turut merapatkan hubungan bersama para pengunjung lain yang hadir.

"Ini kali pertama kami datang. Apa yang saya nampak program iftar ini dapat merapatkan hubungan silaturahim. Kalau nak kata dapat jimat, ia memang sangat-sangat membantu.

Tetamu yang hadir berbuka puasa dalam program Iftar ala Madinah @Karangkraf di Dataran Karangkraf, Shah Alam pada Khamis.
Tetamu yang hadir berbuka puasa dalam program Iftar ala Madinah @Karangkraf di Dataran Karangkraf, Shah Alam pada Khamis.

"Meskipun kami sekeluarga tidak selalu membeli juadah di bazar Ramadan disebabkan selalu masak sendiri di rumah, namun kos memasak mencecah sehingga RM40 sehari. Jadi, agak banyak kos yang dikeluarkan.

"Disebabkan program Iftar ala Madinah ini menyeronokkan, sudah pasti saya akan datang lagi dan menghebahkan kepada orang lain juga," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28