Aestom cadang kuasa mutlak menteri berkaitan LPPM diberi perhatian

Mirza Mohammad
Mirza Mohammad
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Bekas Kakitangan Tourism Malaysia (Aestom) mencadangkan supaya kuasa mutlak menteri berkaitan dengan kawalan pengurusan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) diberi perhatian khusus.

Pengerusinya, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab Beg mendakwa, ia disebabkan tindakan beberapa menteri sebelum ini terhadap pengurusan LPPM yang berpaksikan kuasa mutlak dalam Akta LPPM.

Menurutnya, ia membawa lembaga berkenaan ke dalam keadaan kontroversi tanpa rujukan dan nasihat jelas daripada badan pengawal.

“Kami harap supaya pihak berkaitan terutama pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MoTAC) dan LPPM dapat memberi perhatian lebih serius.

“Ia bertujuan memperkukuhkan peranan Jawatankuasa Kenaikan Pangkat dan Jawatankuasa Disiplin dan Tatatertib, demi memelihara integriti jabatan serta maruah pegawai perkhidmatan awam secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, media melaporkan Ketua Pengarah LPPM, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar didakwa ditamatkan perkhidmatan berkuat kuasa 26 Februari lalu.

Difahamkan, ia berikutan beliau didakwa 'tidak sehaluan' dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Penamatan itu, berdasarkan surat tular di media sosial bertarikh 22 Februari yang memaklumkan berhubung perkara berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, tambah Mirza Mohammad, peranan LPPM, MoTAC dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagai badan pengawal seharusnya bertindak mengikut bidang kuasa masing-masing.

Menurutnya, tanggungjawab tersebut tidak seharusnya diserahkan kepada pihak lain.

“Kami yakin bahawa kepimpinan MoTAC yang berpengalaman luas dalam perkhidmatan ini, peka dengan keperluan bagi mengekalkan imej positif jabatan.

“Ia untuk memelihara semangat kerja kakitangan dalam mencapai misi jabatan serta matlamat pelancongan negara yang akan memberi perhatian kepada perkara ini,” jelasnya lagi.