Kedah terima khabar gembira

Akhyar menyertai JDT selepas berhijrah dari Kedah awal tahun lalu. - Foto JST
Akhyar menyertai JDT selepas berhijrah dari Kedah awal tahun lalu. - Foto JST
A
A
A

KEDAH menerima khabar gembira apabila Pusat Timbangtara Asia (AIAC) memutuskan tuntutan pampasan melibatkan bekas pemainnya, Akhyar Rashid ke Johor Darul Ta'zim (JDT) awal tahun lalu memihak kepada skuad Lang Merah itu.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Mohd Asmirul Anuar berkata, berita berkenaan pastinya memberikan sedikit kelegaan kepada penyokong dan peminat Hijau Kuning yang menunggu keputusan berhubung tuntutan berkenaan sejak setahun lalu.

"Berita ini bercampur (suka dan ralat). Suka kerana kita di pihak yang benar. Sedikit ralat kerana jumlah pampasan yang ditawarkan tidak disertai bersama pampasan latihan (without training compensation).

"Apa yang dapat difahami, menurut Majlis Timbangtara, kes berpihak kepada KFA. Kita menang tetapi jumlah pampasan yang ditetapkan masih lagi perlu dipertimbangkan.

"Malah, peguam mencadangkan agar kami segera memfailkan tuntutan lain (terkini) selari dengan jumlah tuntutan yang diperlukan. Tentunya kita tidak akan bertolak ansur tentang jumlah tuntutan," katanya dalam laman sosial Facebook peribadinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu Akhyar, Kedah enggan berganjak

Bagaimanapun, Mohd Asmirul berkata, beliau tidak dapat mendedahkan jumlah pampasan tersebut kerana ia masih dalam proses perundangan.

"Perkara berkenaan akan dinyatakan pada sidang media apabila kesemua proses tuntutan yang baharu siap dibincangkan. Kita harap masih berpeluang dan masih boleh mendapatkan jumlah pampasan latihan dengan tuntutan yang baharu.

"Apa yang ingin saya tegaskan di sini, apapun akan kita buat demi rakyat negeri Kedah. Apapun akan kita buat demi kesinambungan kemajuan bola sepak negeri Kedah. Apaun akan kita buat walaupun terpaksa menanti masa. Janji kebenaran itu akan terlaksana," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, KFA telah mengemukakan rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas tidak berpuas hati dengan keputusan badan induk bola sepak negara itu yang menetapkan nilai pampasan RM75,000 kepada mana-mana pasukan bagi mendapatkan khidmat Akhyar.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Rayuan FAM mengekalkan keputusan Akhyar hanya perlu membayar RM210,000 untuk menebus baki kontraknya bersama KFA manakala pasukan baharunya perlu membayar RM75,000 kepada KFA.