Isu Akhyar, Kedah enggan berganjak

Mukhriz (kiri) sebelum membaca ucaptama dan mempengerusikan Kongres KFA Kali Ke-44 di Wisma Darul Aman hari ini.
Mukhriz (kiri) sebelum membaca ucaptama dan mempengerusikan Kongres KFA Kali Ke-44 di Wisma Darul Aman hari ini.
A
A
A

PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) masih meneruskan usaha mencari kebenaran di sebalik kes perpindahan Akhyar Rashid ke Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 2018.

Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, selepas gagal di Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), kes berkenaan dirujuk pula ke Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di Kuala Lumpur.

"Keputusannya akan kita ketahui selewat-lewatnya hujung bulan ini. Untuk kes tuntutan KFA terhadap Persatuan Bolasepak Johor, ianya seolah-olah tidak bergerak kerana hingga kini, ia masih belum memasuki fasa rayuan.

"KFA mengharapkan FAM akan bertindak telus dalam menyelesaikan isu ini dengan segera," katanya pada ucaptama sempena Kongres KFA kali ke-44 di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Darul Aman hari ini.

Isu perpindahan pemain berbakat besar itu dikatakan paling sensasi berikutan KFA dikatakan tidak berpuas hati dan enggan melepaskan pemain sayap lincah itu ke JDT.

Dalam pada itu Mukhriz berkata, pihaknya juga menanggung kos tambahan terhadap kes Akhyar tersebut.

"Untuk makluman juga, sumbangan yang telah dikutip untuk Tabung CAS-KFA yang berjumlah RM50,000 dahulu telah pun habis digunakan untuk menampung kos guaman dua kes di atas dan ia tidak mencukupi. KFA menanggung segala kos tambahannya," katanya.

Dalam ucapan sama, beliau berkata, KFA akan memulakan langkah awal untuk menubuhkan Kelab Bolasepak Kedah atau FC Kedah seawal 2020 selaras bahawa FAM telah meletakkan syarat utama hanya kelab bolasepak yang berdaftar sahaja layak bersaing dalam Liga Profesional Malaysia mulai 2021.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, bagi mencerminkan kesepaduan para penyokong, FC Kedah hanya akan mengiktiraf satu Kelab Penyokong yang berdaftar secara rasmi.

"Stadium Darul Aman juga akan berubah wajah. Sejumlah RM 5.8 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Kedah untuk kerja-kerja penambahbaikan stadium

"Pejabat KFA pula akan berpindah ke bangunan Majlis Sukan Negeri di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, sesuai dengan rancangan menjadikan lokasi baharu itu sebagai hub bola sepak di bawah naungan KFA dan FC Kedah," katanya.