Islamofobia boleh cetus konflik berpanjangan

Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Mohd Izani)
Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Mohd Izani)
A
A
A

SHAH ALAM - Islamofobia boleh mengakibatkan berlakunya konflik berpanjangan dan manusia hidup saling curiga-mencurigai antara satu sama lain disebabkan ketidakfahaman sesetengah pihak terhadap Islam sekiranya ia semakin menular.

Penganalisis politik yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, berikutan itu, ia memerlukan banyak dialog dan komunikasi di pelbagai tahap untuk menjelaskan realiti Islam sebagai agama yang damai.

“Islamofobia adalah suatu perasaan alergik kepada Islam yang dikaitkan dengan keganasan serta unsur-unsur negatif malah berlaku dalam pelbagai platform khususnya media seperti filem dan sebagainya.

“Ia semakin memuncak ketika tragedi pada 11 September 2011. Jadi pemimpin negara perlu memainkan peranan diplomasi serta meyakinkan pemimpin negara lain mengenai isu ini.

“Apa yang Perdana Menteri kita buat, berdialog dan menjelaskan mengenai Islam ini merupakan suatu perkara sangat baik kerana boleh membetulkan persepsi masyarakat,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan dengan badan-badan pemikir Islam antarabangsa dalam jeda waktu jadual rasminya semasa lawatan rasmi ke Jerman.

Dalam pertemuan tersebut, Anwar membincangkan perihal Islamofobia yang disifatkan semakin membarah di Eropah.

Mengulas lanjut, Mohd Izani berkata, Islamofobia yang semakin memuncak di Eropah berpunca daripada sikap etnosentrik iaitu merasakan diri mereka lebih mulia dan baik daripada bangsa lain.

Artikel Berkaitan:

“Ia berlaku sejak awal lagi semasa zaman penjajahan dan masih boleh dilihat sehingga sekarang.

“Cuma bagi saya, tidak dinafikan ia juga boleh berlaku disebabkan sikap umat Islam yang merosakkan imej agama sendiri dengan melakukan keganasan atau perkara bertentangan yang akhirnya membina persepsi buruk.

“Tetapi Barat tidak boleh pukul rata dan membuat kesimpulan bahawa semua umat Islam ini sebagai pengganas,” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28