PM bertemu badan pemikir Islam antarabangsa, tangani Islamofobia

Dalam pertemuan tersebut Perdana Menteri membincangkan perihal Islamofobia yang disifatkan semakin membarah di Eropah. - Foto: FB Anwar Ibrahim
Dalam pertemuan tersebut Perdana Menteri membincangkan perihal Islamofobia yang disifatkan semakin membarah di Eropah. - Foto: FB Anwar Ibrahim
A
A
A

BERLIN - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan dengan badan-badan pemikir Islam antarabangsa dalam jeda waktu jadual rasminya semasa lawatan rasmi ke Jerman.

Dalam pertemuan tersebut Perdana Menteri membincangkan perihal Islamofobia yang disifatkan semakin membarah di Eropah.

“Kami menyentuh beberapa perkara antaranya peranan sarjana dan cabaran baharu dengan semaraknya Islamofobia di Eropah saat ini.

“Kami juga membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil bagi menangani permasalahan tersebut terutamanya di barat dan rakan-rakan sarjana turut mengusulkan Malaysia mengambil inisiatif merangka strategi berkesan menentang kemaraan budaya ini,” katanya.

Beliau berkata demikian melalui perkongsian di media sosial rasmi pada Khamis.

Human Rights Watch (HRW) dalam laporannya pada Disember tahun lalu melaporkan Islamofobia kian meningkat di Eropah susulan insiden 7 Oktober di Palestin, yang membawa kepada pengharaman himpunan pro-Palestin dan tindakan-tindakan lain yang disifatkan sebagai menghalang kebebasan bersuara bagi pihak rakyat Palestin.

Menurut kenyataan tersebut, pertubuhan yang turut serta dalam pertemuan bersama Perdana Menteri ialah International Institute of Islamic Thought (IIIT), Arab World Institute dan Middle East and Mediterranean Research Centre (CERMOM).

Untuk rekod, Anwar merupakan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah (IIIT) dan merupakan pengasas bersama institut tersebut ketika ia ditubuhkan pada 1981 di Amerika Syarikat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Arab World Institute (Institut Du Monde Arabe, IDA) merupakan badan pemikir yang berpangkalan di Perancis, berusia hampir 40 tahun sebagai pertubuhan yang mengangkat agenda dialog antara Timur dan Barat.

Middle East and Mediterranean Research Centre (CERMOM) pula adalah sebuah pusat kecemerlangan yang memberi tumpuan kepada kajian mengenai sejarah, budaya, sastera dan pelabagai aspek tamadun di timur tengah serta Mediterranean.

Anwar dijadual terbang dari Berlin ke Hamburg untuk hari terakhir lawatannya ke Jerman pada pagi Jumaat. - Awani

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28