Malaysia suarakan komitmen tak berbelah-bahagi tangani Islamofobia

MOHAMAD
MOHAMAD
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia menegaskan komitmen yang tidak berbelah-bahagi dalam menangani Islamofobia termasuk keganasan dan kebencian terhadap individu berdasarkan agama atau kepercayaan masing-masing.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, negara ini terus menjunjung Perkara 1 di dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menyatakan bahawa semua manusia dilahirkan bebas dan sama rata dari segi kemuliaan dan hak-hak.

"Sambutan ulangtahun ketiga Hari Antarabangsa Memerangi Islamofobia yang disambut pada hari ini (Jumaat) merupakan satu gesaan untuk menghentikan tindakan kebencian terhadap Islam," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat

Beliau berkata, Malaysia bimbang dengan pengiktirafan terhadap tindakan-tindakan provokasi, tidak menghormati dan tindakan yang menyinggung perasaan termasuklah insiden pembakaran kitab suci Al-Quran secara berterusan.

"Perkara ini akan terus menyemai sifat kebencian dan keganasan terhadap umat Islam dan golongan agama minoriti yang lain. Tindakan tersebut adalah manifestasi Islamofobia yang amat berbahaya dan telah menular menjadi wabak.

"Jika tindakan bersifat Islamofobia ini tidak dibendung, ia akan menyumbang kepada peningkatan keganasan di samping menormalisasikan kebencian terhadap umat Islam di seluruh dunia.

"Ini akan menghakis usaha memupuk keamanan dan keharmonian di peringkat antarabangsa," ujarnya.

Menurutnya, Malaysia percaya tindakan yang lebih nyata adalah amat perlu bagi menangani punca Islamofobia dan menggesa masyarakat antarabangsa untuk mengenal pasti langkah-langkah kukuh dalam membanteras keadaan serta perlakuan semasa yang memupuk perbuatan keji ini.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, Malaysia menyokong penuh seruan bagi pelantikan Perutusan Khas PBB untuk memerangi Islamofobia selain dialog antara budaya dan agama memainkan peranan penting dalam memupuk keamanan, kesederhanaan dan toleransi beragama.

"Sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, Malaysia percaya bahawa nilai kesederhanaan dapat merapatkan perbezaan dan menyelesaikan pertikaian berdasarkan amalan saling hormat-menghormati dan memahami.

"Malaysia kekal teguh dengan komitmen untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam memerangi Islamofobia dengan berkesan," katanya.

Pada tahun 2022 yang lalu, Malaysia menaja bersama resolusi PBB yang mengisytiharkan 15 Mac sebagai Hari Antarabangsa untuk Memerangi Islamofobia.

Tarikh 15 Mac dipilih bagi memperingati serangan ke atas jemaah Islam semasa solat Jumaat di dua masjid di Christchurch, New Zealand pada 2019 yang meragut 51 nyawa selain mencederakan 40 yang lain.

Selain negara anggota OIC, resolusi itu turut ditaja bersama China, Cuba, Nicaragua, Rusia, Uruguay, Venezuela dan Filipina.