PKPIM cadang KPT tambah klausa akta khas dalam AUKU

Muhammad Dzul Aiman
Muhammad Dzul Aiman
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mencadangkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menambah klausa akta khas di dalam Rang Undang-undang Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 2023 untuk penerimaan kesatuan mahasiswa di universiti seluruh negara.

Presidennya, Muhammad Dzul Aiman Zulkefly berkata, selain itu, satu penjelasan harus dikeluarkan oleh KPT berhubung rasional penambahan subseksyen 4a dalam seksyen 48, Jadual Pertama.

“PKPIM beranggapan subseksyen ini jelas menyatakan bahawa lembaga universiti mempunyai kuasa untuk mengurangkan tempoh keahlian Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

“Perkara ini menimbulkan spekulasi akan keterjaminan penguatkuasaan yang adil kerana tiada keterangan diberikan pihak Lembaga bagi menyatakan justifikasi pemanjangan atau pemendekkan tempoh.

“PKPIM juga berharap agar penjelasan dapat diberikan segera bagi memudahkan proses pertimbangan dan memperjuangkan hak mahasiswa terutamanya MPP dalam berkhidmat dengan lebih berakauntabiliti,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pada 19 Mac lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, walaupun kerajaan memaklumkan bahawa AUKU 1971 tidak akan dimansuh, namun beberapa peruntukan dalam akta itu yang menyekat kebebasan mahasiswa dan pensyarah akan dihapuskan.

Akta AUKU telah melalui tujuh kali pindaan sebelum ini iaitu pada 1971, 1975, 1983, 1996, 2009, 2012 dan 2019 setelah ia diluluskan pada 1971.

Dalam pada itu, ujar Muhammad Dzul Aiman, KPT juga disyorkan supaya menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Pemansuhan AUKU melibatkan pemegang taruh sebagaimana termaktub dalam agenda tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ia antara langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh kerajaan bagi memastikan pelaksanaan agenda pemansuhan AUKU 1971 tercapai.

“KPT dicadangkan menyemak dan menambah baik syor-syor laporan Jawatankuasa Pemansuhan AUKU yang ditubuhkan kerajaan Pakatan Harapan pada 2020.

“PKPIM mengusulkan Kaukus Ahli Parlimen Muda Dewan Rakyat bekerjasama bersama-sama pimpinan mahasiswa bagi menyediakan draf Rang Undang-Undang (RUU) persendirian Akta Pengajian Tinggi bagi memastikan satu undang-undang baru baharu menggantikan AUKU 1971,” jelasnya.