Elak ‘mini Dhaka’ berkembang, gubal undang-undang lebih tegas - Mohd Azwardi

Polis menahan warga asing menerusi operasi besar-besaran di sekitar Jalan Silang, Kuala Lumpur. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID (Gambar kecil: Mohd Azwardi)
Polis menahan warga asing menerusi operasi besar-besaran di sekitar Jalan Silang, Kuala Lumpur. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID (Gambar kecil: Mohd Azwardi)
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan berhak menggubal undang-undang lebih tegas untuk mengawal kebanjiran pendatang tanpa izin (PATI) bagi mengelak ‘mini Dhaka' berkembang ke negeri lain.

Penganalisis ekonomi, Dr Mohd Azwardi Md Isa berkata, antara saranan termasuk membekukan, merampas serta menjadikan harta berkaitan PATI milik negara selain mengenakan hukuman sebatan.

Menurutnya, sudah tiba masanya kerajaan merangka undang-undang seumpama Anti Money Laundering Act (AMLA) yang membolehkan kerajaan membekukan dan merampas harta pihak terlibat.

“Undang-undang berkaitan PATI seperti AMLA harus diwujudkan. Mereka melanggar undang-undang dengan berniaga dan bekerja melebihi tempoh permit kerja, tindakan ini ibarat merampas hasil kekayaan negara secara tidak sah.

“Kerajaan berhak merampas harta mereka, termasuk agensi serta pihak yang berkomplot membawa PATI ke negara ini,” katanya di sini pada Khamis.

Mohd Azwardi yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Perniagaan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, hukuman sebatan yang pernah dicadangkan di Parlimen seharusnya dipercepatkan.

“Contohnya kerajaan kenakan hukuman lima kali sebatan untuk kesalahan pertama sebelum dihantar ke pusat tahanan sementara. Bagi saya, ia berpatutan memandangkan mereka secara sengaja melanggar undang-undang negara.

“Untuk kesalahan berulang, kenakan tambahan 10 kali sebatan. Bagi rakyat Malaysia yang berkomplot membawa PATI, dicadangkan tiga kali sebatan dan hukuman penjara minimum lima tahun.

Artikel Berkaitan:

“Bagi rakyat asing bertaraf pemastautin tetap pula, lucutkan hak itu secara automatik,” ujarnya.

Menurutnya lagi, pangkalan bank data PATI juga harus diwujudkan dengan merekodkan cap jari untuk memastikan mereka tidak kembali menggunakan pasport palsu atau menyusup melalui jalan haram.

“Kebanyakan PATI guna banyak identiti, ia sangat membahayakan jika mereka melakukan jenayah dalam negara. Kebelakangan ini ada yang sudah berani membunuh, merompak, mengedar dadah serta terlibat dalam penipuan dalam talian. Mereka yang terlibat dalam jenayah berat adalah parasit negara,” katanya.

Mohd Azwardi berkata, rakyat sudah jemu, muak dan bimbang dengan kehadiran PATI yang terlalu ramai sehingga penguat kuasa juga seperti sudah tidak menang tangan menangani mereka.

“Tindakan tegas perlu dibuat sebelum terlambat. Organisasi seperti Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) tidak seharusnya campur tangan dalam usaha negara menangani PATI. Kita negara berdaulat dan ada undang-undang,” jelasnya.

Tambah beliau, kebanjiran PATI dalam negara semakin membimbangkan malah meresahkan penduduk setempat kerana menjejaskan banyak aspek.

“Tindakan tegas agensi penguat kuasa menyaksikan beberapa siri tangkapan khususnya di kawasan panas yang menjadi tumpuan PATI, seperti di ibu negara (Jalan Silang), Johor (Kota Tinggi), Kedah (Kulim) serta Kuala Terengganu.

“Sebahagian memasuki negara secara tidak sah, didalangi rakyat tempatan yang tamak dengan habuan wang. Ini terbukti apabila hotel-hotel bajet dijadikan transit, malah pemandu teksi turut menjadi ‘transporter’ sementara tekong darat menguruskan operasi haram ini,” jelasnya.

Mohd Azwardi berkata, sindiket ini adalah kegiatan jenayah terancang yang menceroboh negara melalui laluan sama ada laut mahupun darat.

“Golongan tersebut turut dikesan memonopoli perniagaan secara terbuka sehingga menguasai rangkaian bekalan barangan seperti karpet, rempah-ratus dan kedai runcit. Ia menggugat aktiviti perniagaan rakyat tempatan.

“Perniagaan PATI tidak berdaftar, gunakan lesen rakyat tempatan, mereka juga tidak bayar cukai perniagaan atau cukai pendapatan malah menggunakan premis yang tidak dibenarkan oleh undang-undang. Ia tidak adil terhadap peniaga tempatan sekaligus mencabar undang-undang negara,” ujarnya.

Menurutnya, golongan tersebut turut mengeksploitasi perkhidmatan kesihatan negara seperti didedahkan seorang doktor baru-baru ini.

“Mereka dapatkan khidmat kesihatan atas dasar kemanusiaan walaupun tidak layak. Ia beri tanggapan seolah negara iktiraf mereka secara tidak rasmi.

“Mereka sudah mula naik tocang apabila mahukan hak seperti warganegara asal seperti pendidikan, infrastruktur dan sebagainya, ini tidak masuk akal,” katanya.

Mohd Azwardi turut melahirkan kebimbangan kebanjiran PATI kelak mengubah komposisi penduduk Malaysia sekiranya dibiarkan berterusan kerana mereka hidup secara koloni dan beranak-pinak dalam negara.

Pada Februari, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Ruslin Jusoh memaklumkan, operasi atau pemantauan di 220 kawasan tumpuan PATI di seluruh negara tidak pernah dihentikan.

Menurutnya, seramai 10,467 PATI telah ditahan daripada keseluruhan 19,873 yang diperiksa bagi tempoh 1 Januari hingga 8 Februari lepas, menerusi 1,687 operasi.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28