Perak beku permit masuk hutan, siasat kes bom ikan

Sekumpulan lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan mengebom ikan apabila beberapa bangkai haiwan itu ditemui di sekitar kawasan sungai dalam hutan.
Sekumpulan lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan mengebom ikan apabila beberapa bangkai haiwan itu ditemui di sekitar kawasan sungai dalam hutan.
A
A
A

IPOH - Jabatan Perhutanan Negeri Perak memaklumkan pembekuan pemberian kelulusan Permit Memasuki Hutan Simpanan Kekal di daerah Hulu Perak dikeluarkan bagi membolehkan siasatan dilakukan berkaitan kes pengeboman ikan yang tular baru-baru ini.

Pengarahnya, Datuk Mohd Basri bin Abdul Manaf berkata, arahan pembekuan tersebut juga dilakukan bagi tujuan penguatkuasaan dan pengawalan terhadap sumber hutan.

Menurutnya, pembekuan permit yang diumumkan itu melibatkan rekreasi lain seperti aktiviti kenderaan pacuan empat roda, motocross, basikal lasak, memancing dan sebagainya membabitkan empat Hutan Simpan (HS) iaitu HS Amanjaya, HS Banding, HS Temengor dan HS Gerik.

"Arahan pembekuan ini adalah di atas faktor penguatkuasaan dan kawalan terhadap sumber hutan serta bagi memberi ruang kepada proses siasatan kes pengeboman ikan oleh sekumpulan ahli kelab pacuan empat roda yang tular di media sosial baru-baru ini.

"Jabatan ini juga telah membuat satu laporan polis berkaitan kes tersebut pada 14 Mac 2024 bagi tindakan siasatan lanjut di bawah seksyen 47 Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985 kerana disyaki memasuki Hutan Simpanan Kekal tanpa kebenaran," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Mohd Basri berkata, pihaknya juga akan membuat kajian semula bagi prosedur serta kajian berkaitan impak aktiviti kenderaan pacuan empat roda terhadap dirian hutan.

Jelasnya, satu perbincangan dengan pengusaha aktiviti kenderaan pacuan empat roda itu akan diadakan dalam masa terdekat.

"Mana-mana kumpulan atau individu dinasihatkan agar tidak memasuki mana-mana hutan simpanan kekal tanpa Permit Memasuki Hutan.

Artikel Berkaitan:

"Pelanggaran terhadap arahan ini jika disabitkan boleh didakwa di bawah seksyen 47 Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985," katanya.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan Jabatan Perhutanan Perak mengeluarkan notis arahan pembekuan kelulusan permit memasuki empat hutan simpanan kekal di daerah Hulu Perak bagi tujuan rekreasi berkuat kuasa serta-merta.

Tempoh pembekuan itu dilaksanakan selama tiga bulan bermula pada Jumaat sehingga 15 Jun depan.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan sekumpulan lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan mengebom ikan apabila beberapa bangkai haiwan itu ditemui di sekitar kawasan sungai dalam hutan.