Doktor buat laporan polis, tuduhan gangguan seksual fitnah

Surat layang yang tular di media sosial mendakwa, seorang doktor lelaki telah mengganggu secara seksual beberapa doktor pelatih wanita di HRPB, Ipoh.
Surat layang yang tular di media sosial mendakwa, seorang doktor lelaki telah mengganggu secara seksual beberapa doktor pelatih wanita di HRPB, Ipoh.
A
A
A

IPOH - Doktor lelaki yang didakwa terlibat dalam kes gangguan seksual dan ugutan melibatkan doktor pelatih di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini telah membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, laporan oleh lelaki berusia 43 tahun itu diterima pada Sabtu berhubung penularan surat layang di laman sosial yang memburukkan namanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, surat layang yang tersebar itu menuduh individu dan beberapa kakitangan lain melakukan perbuatan terkutuk terhadap doktor pelatih di Jabatan Ortopedik hospital berkenaan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah.

"Siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan perkhidmatan rangkaian," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Beliau meminta orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan berunsur khabar angin atau fitnah.

Katanya, perkara itu bukan sahaja menjejaskan kredibiliti seseorang, malah boleh dikenakan tindakan mengikut perundangan sedia ada.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintendan Fadli Ahmad di talian 019-2500019 bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menerusi surat layang yang dikongsi di media sosial mendakwa, seorang doktor lelaki telah mengganggu secara seksual beberapa doktor pelatih wanita di Jabatan Ortopedik HRPB dengan meraba, menyentuh bahagian tali bra, mencubit badan dan paha serta bercakap lucah.

Perkara itu dikatakan telah berlaku sekian lama, namun tidak dilaporkan kerana mangsa takut akan ugutan yang diberikan doktor berkenaan termasuklah mahu memanjangkan tempoh 'tagging' dan latihan selain akan dilabel sebagai pelatih bermasalah.

Susulan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan siasatan menyeluruh dengan menubuhkan satu Jawatankuasa Penyiasatan Bebas bagi menyiasat perkara berkenaan.