KKM siasat dakwaan gangguan seksual, ugut doktor pelatih di HRPB

Surat layang yang tular di media sosial mendakwa, seorang doktor lelaki telah mengganggu secara seksual beberapa doktor pelatih wanita di HRPB, Ipoh.
Surat layang yang tular di media sosial mendakwa, seorang doktor lelaki telah mengganggu secara seksual beberapa doktor pelatih wanita di HRPB, Ipoh.
A
A
A

IPOH - Kementerian Kesihatan (KKM) akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan berlakunya gangguan seksual dan ugutan terhadap doktor pelatih dilakukan seorang doktor di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata, satu Jawatankuasa Penyiasatan Bebas telah ditubuhkan pada 29 Februari lalu bagi menyiasat perkara berkenaan.

Menurutnya, keahlian jawatankuasa berkenaan dianggotai pegawai-pegawai yang turut dilantik Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan kementerian.

"Siasatan kini sedang dilaksanakan dengan pengumpulan bukti-bukti," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, aduan kes itu diterima pihaknya pada 28 Februari lalu melalui satu surat layang yang dihantar melalui pos.

Katanya, tuduhan yang turut tular di media sosial itu adalah serius dan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mengenakan tindakan tegas mengikut peruntukan perundangan sekiranya terbukti benar.

"KKM memandang pertuduhan ini sebagai sangat serius dan mempunyai toleransi sifar terhadap gangguan seksual di tempat kerja," katanya.

Menerusi surat layang yang dikongsi di media sosial mendakwa, seorang doktor lelaki telah mengganggu secara seksual beberapa doktor pelatih wanita termasuk bercakap lucah.

Artikel Berkaitan:

Perkara itu dikatakan telah berlaku sekian lama, namun tidak dilaporkan kerana mangsa takut dengan ugutan yang diberikan doktor berkenaan termasuklah mahu memanjangkan tempoh 'tagging' dan latihan selain akan dilabel sebagai pelatih bermasalah.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28