Doktor pelatih dakwa terima gangguan seksual diminta buat laporan polis

Sivanesan (Laporan Sinar Harian)
Sivanesan (Laporan Sinar Harian)
A
A
A

IPOH - Doktor pelatih di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini yang mendakwa menerima ugutan dan diganggu secara seksual oleh seorang doktor diminta segera tampil membuat laporan polis.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan berkata, setakat ini pihaknya dimaklumkan tiada sebarang laporan dibuat mangsa sekaligus menyukarkan siasatan dijalankan.

"Ini satu dakwaan serius yang melibatkan pasukan pengamal perubatan. Sekiranya dakwaan itu benar seperti berlaku, mereka perlu membuat laporan kepada pihak berkuasa.

"Tindakan sewajarnya termasuk pecat dari jawatan boleh dikenakan ke atas doktor terlibat," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas surat layang yang dikongsi di media sosial mendakwa, seorang doktor lelaki telah mengganggu secara seksual beberapa doktor pelatih wanita di Jabatan Ortopedik HRPB dengan meraba, menyentuh bahagian tali bra, mencubit badan dan peha serta bercakap lucah.

Perkara itu dikatakan telah berlaku sekian lama, namun tidak dilaporkan kerana mangsa takut akan ugutan yang diberikan doktor berkenaan termasuklah mahu memanjangkan tempoh 'tagging' dan latihan selain akan dilabel sebagai pelatih bermasalah.

Sivanesan berkata, dakwaan dan aduan yang dibuat menerusi surat layang seumpama itu boleh diragui kesahihannya serta memberi pandangan negatif terhadap pihak lain.

"Saya khuatir jika dakwaan ini tidak benar, nanti akan merosakkan reputasi dan nama baik pegawai terlibat.

Artikel Berkaitan:

"Sebaiknya buat laporan polis atau jika takut, boleh datang berjumpa dengan saya dengan memberikan maklumat sebenar," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri mengesahkan tiada laporan diterima berhubung kes terbabit

"Tiada lagi laporan setakat ini," katanya.

Media melaporkan, Kementerian Kesihatan (KKM) akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan berlakunya gangguan seksual dan ugutan dilakukan seorang doktor di HRPB di sini.

Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata, satu Jawatankuasa Penyiasatan Bebas telah ditubuhkan pada 29 Februari lalu bagi menyiasat perkara berkenaan.