Malaysia capai minat pelaburan baharu RM45.4 bilion - Anwar

Anwar (dua dari kanan) dalam sidang media pada akhir lawatan enam hari beliau ke Berlin dan Hamburg. Foto Bernama
Anwar (dua dari kanan) dalam sidang media pada akhir lawatan enam hari beliau ke Berlin dan Hamburg. Foto Bernama
A
A
A

HAMBURG - Malaysia berjaya mencapai minat pelaburan baharu dengan potensi nilai RM45.4 bilion hasil lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jerman yang berakhir Jumaat.

Anwar berkata, pelabur Jerman dan juga dari negara Eropah lain yakin dengan Malaysia disebabkan kestabilan politik, dasar yang jelas dan kecekapan jentera kerajaan dalam proses kelulusan projek.

"Insentif (yang ditawarkan) dalam persaingan hampir sama dengan negara-negara jiran. Tapi yang menarik mereka nampaknya ialah kestabilan politik, dasar-dasar yang jelas dan kesediaan kita bekerja sebagai satu pasukan dalam mempercepat proses kelulusan projek-projek,” katanya dalam sidang media pada akhir lawatan enam hari beliau ke Berlin dan Hamburg.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dasar Malaysia berkaitan peralihan tenaga juga membantu menarik pelaburan baharu.

Anwar menyampaikan ucaptama pada acara tahunan SME Future Day 2024 di Berlin pada Khamis. Foto Bernama
Anwar menyampaikan ucaptama pada acara tahunan SME Future Day 2024 di Berlin pada Khamis. Foto Bernama

"Misalnya dasar-dasar hijau kita, transisi tenaga dan tenaga boleh baharu, penyelidikan dalam bidang hidrogen, solar. (Perkara) Itu bila kita tekankan dengan sendirinya menarik perhatian mereka untuk melabur di Malaysia,” katanya.

Semasa di Berlin, Perdana Menteri mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatan beliau Canselor Olaf Scholz selain bertemu Naib Canselor Jerman merangkap Menteri Ekonomi dan Tindakan Iklim Robert Habeck, serta mengadakan kunjungan hormat kepada Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier.

Anwar juga berkata, dasar luar Malaysia yang lebih pragmatik termasuk hubungan yang baik dengan negara seperti Amerika Syarikat, negara zon Eropah, China, Jepun dan Korea Selatan juga membantu menarik pelaburan.

Artikel Berkaitan:

"Ini sangat membantu dalam soal ketegangan Amerika (Syarikat) dengan China. Nampak mereka rasa Malaysia boleh menjadi tempat pelaburan yang boleh mengurangkan isu ketegangan antara dua negara tersebut,” katanya.

Beliau berkata, pertemuan turut berlangsung dengan 38 peneraju industri dari Jerman, Belgium, Perancis dan Belanda yang memberikan komitmen untuk sama ada membuat pelaburan baharu atau meningkatkan pelaburan sedia ada di Malaysia.

Antara peneraju syarikat utama yang ditemui Perdana Menteri di Berlin dan Hamburg ialah dari X-Fab Silicon Foundries, Melexis, Infineon Technology, Schott AG, Siemens Energy, Nexperia dan Airbus.

Menurut beliau, X-Fab akan membuat pelaburan besar di Sarawak manakala Infineon yang telah bertapak sejak lima dekad di Malaysia akan menambah pelaburan sebanyak lima juta euro.

"Semua ini dapat kita capai disebabkan hubungan baik dengan pemimpin-pemimpin Jerman. Walaupun ada beza pendapat (mengenai) isu-isu tertentu seperti Gaza (namun) dari segi diplomatik dan ekonomi amat baik.

"Liputan media antarabangsa seperti Financial Times dan New York Times yang anggap Malaysia sebagai pusat perkembangan elektronik dan semikonduktor dunia juga membantu usaha kita,” katanya.

Syarikat aeroangkasa Airbus pula bersedia membeli produk dan perkhidmatan bernilai RM1.4 bilion dari Malaysia untuk Jerman dalam tempoh lima tahun akan datang, kata beliau.

Mengenai isu Peraturan Pembasmian Hutan Kesatuan Eropah yang menjejaskan eksport sawit ke negara Kesatuan Eropah (EU), Anwar berkata, kritikan EU terharap isu penebangan hutan adalah meleset.

"Mereka tidak mengikuti perkembangan mutakhir... kini tiada penebangan hutan meluas sebagaimana berlaku dulu. Bila saya beri penerangan keadaan mutakhir, nampak sikap mereka lebih positif,” katanya.

Terdapat lebih 700 syarikat Jerman di Malaysia, dengan pelaburan hampir AS$15 bilion (RM70.24 bilion).

Pada 2023, nilai perdagangan kedua-dua negara berjumlah RM63.5 bilion, dengan peningkatan 1.8 peratus nilai eksport kepada RM30.56 bilion daripada RM30.03 bilion pada 2022.

Sebanyak 486 projek dengan penyertaan syarikat Jerman bernilai RM45.69 bilion (AS$12.08 bilion) telah dilaksanakan pada 2023 di samping mewujudkan sejumlah 49,591 peluang pekerjaan. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28