Pelaburan berpotensi baharu bernilai RM45.4 bilion dari Jerman

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

BERLIN - Minat pelaburan baharu yang timbul daripada mesyuarat meja bulat dan pertemuan satu dengan satu bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini pada Selasa membawa nilai berpotensi RM45.4 bilion.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pelaburan berpotensi itu merangkumi projek baharu serta projek peluasan dan pempelbagaian.

"Pelaburan berpotensi itu daripada pelbagai industri seperti semikonduktor, aeroangkasa, peranti perubatan, kimia dan perkhidmatan,” katanya kepada wartawan Malaysia selepas mesyuarat meja bulat dan pertemuan satu dengan satu bersama Anwar.

Sebanyak 38 pemimpin industri dan perniagaan terkemuka dari bandar di Jerman seperti Stuttgart, Munich, Berlin dan Frankfurt, serta dari Belgium dan Perancis, menyertai mesyuarat itu.

Anwar juga mengadakan pertemuan dengan pemimpin dari X-Fab, Melexis, Infineon Technologies AG, Schott AG, dan Airbus secara satu dengan satu.

Anwar (depan, tengah) diapit Menteri Luar, Datuk Seri Mohamed Hasan (kiri) dan Tengku Zafrul berjalan kaki menuju ke Mesyuarat Meja Bulat Bersama Kapten Industri di Berlin, hari ini. Foto Bernama
Anwar (depan, tengah) diapit Menteri Luar, Datuk Seri Mohamed Hasan (kiri) dan Tengku Zafrul berjalan kaki menuju ke Mesyuarat Meja Bulat Bersama Kapten Industri di Berlin, hari ini. Foto Bernama

Perdana Menteri, yang tiba di sini pada Ahad, mengambil peluang dengan memberi jaminan kepada perniagaan Jerman bahawa Malaysia kekal sebagai antara lokasi terbaik dan destinasi pilihan yang menekankan pendekatan mesra perniagaan untuk pelabur.

Syarikat daripada ekonomi terbesar dunia yang datang untuk bertemu Anwar itu terlibat dalam sektor seperti tenaga, peranti perubatan, semikonduktor, elektronik, jentera, automotif dan aeroangkasa.

Artikel Berkaitan:

Tengku Zafrul berkata, melalui pertemuan dengan pihak syarikat-syarikat itu, jelas terdapat petunjuk kukuh bahawa syarikat Jerman positif dan kekal komited terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan mereka.

X-Fab, Melexis dan Schott akan mula operasi tidak lama lagi

Beliau berkata X-Fab, Melexis dan Schott telah memaklumkan perkembangan terkini bahawa projek masing-masing, dengan pelaburan diluluskan bernilai RM4.45 bilion, kini dalam pembinaan dan dijangka memulakan operasi tahun ini.

Semasa pertemuan satu dengan satu bersama Perdana Menteri, Ketua Pegawai Operasi Infineon, Rutger Wijburg berkata syarikat itu berada di landasan untuk membina kilang fabrikasi kuasa silikon karbida (SiC) 200-milimeter terbesar dunia di Kulim.

"Infineon dan Malaysia membina kilang SiC terbesar di dunia.

"Malaysia dan Infineon bersama-sama berjuang menangani perubahan iklim,” katanya.

Tahun lepas, Infineon yang beroperasi di Malaysia sejak 1973 mengumumkan bahawa dalam tempoh lima tahun akan datang, pihaknya akan melabur lagi sehingga lima bilion euro di Kulim semasa fasa pembinaan kedua bagi pelan Modul Tiga.

Pelaburan itu akan menjadikan potensi perolehan SiC tahunan mencecah kira-kira tujuh bilion euro menjelang akhir dekad ini, bersama-sama dengan penukaran SiC 200-milimeter yang dirancang di Villach dan Kulim.

Antara yang menghadiri mesyuarat dengan Anwar hari ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Siemens AG Roland Busch, CEO B. Braun GmbH Anna Braun dan CEO Melexis Marc Biron.

Turut hadir, Presiden Airbus Asia Pasifik, Anand Stanley dan Pengarah Urusan Volkswagen Group Malaysia, Susanne Lehmann.

Wakil dari Dewan Perniagaan Jerman, Dewan Perniagaan Malaysia-Jerman, dan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Jerman (BVMW) turut hadir.

Hadir sama dalam pertemuan itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; CEO Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Wira Arham Abdul Rahman dan CEO Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz.

Terdapat lebih 700 syarikat Jerman yang berpangkalan di Malaysia, dengan 65,000 pekerjaan diwujudkan.

Jerman menjadi rakan dagang terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah sejak 2000, manakala Malaysia adalah rakan dagang terbesar Jerman daripada kalangan negara anggota Asean.

Pada 2023, jumlah perdagangan Malaysia dengan Jerman meningkat 5.9 peratus kepada RM63.45 bilion (AS$13.90 bilion) daripada RM59.87 bilion (AS$13.62 bilion) pada 2022. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28