Malaysia raih komitmen pelaburan RM347 bilion sepanjang misi pelaburan

Anwar ketika Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto: Bernama
Anwar ketika Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

MALAYSIA berjaya meraih komitmen pelaburan dengan nilai RM347 bilion sepanjang lawatan rasmi serta misi perdagangan dan pelaburan yang diadakan di luar negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, pelaburan tersebut diraih di China, Singapura, Jepun, Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Amerika Syarikat.

"Komitmen pelaburan ini agak tinggi dan amat memberangsangkan sama ada hasil lawatan dan hasil usaha agensi-agensi kerajaan termasuk Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI),” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi bacaan kali kedua di persidangan Dewan Negara, pada Rabu.

Beliau berkata, kerajaan telah meluluskan pelaburan bernilai RM132.6 bilion iaitu melebihi 60 peratus daripada sasaran tahun ini bagi separuh pertama 2023.

"Yang utama ialah jaminan berkembangnya Keluaran Dalan Negara Kasar (KDNK) suku ketiga dengan mencatatkan pertumbuhan 3.3 peratus berbanding 2.9 peratus pada suku kedua 2023.

"Ekonomi kita berkembang 3.9 peratus bagi sembilan bulan 2023, selari dengan unjuran KDNK 2023 sekitar empat peratus,” katanya.

Anwar juga berkata, kerajaan telah meredakan tekanan inflasi.

"Bermula dengan kadar empat peratus semasa kerajaan mengambil alih, kini setakat Oktober 2023, kadar inflasi hanya 1.8 peratus; terendah di rantau ini dan lebih baik berbanding kebanyakan negara maju,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata tahap pengangguran juga berjaya diturunkan kepada 3.4 peratus setakat September 2023, iaitu terendah hampir menyamai kadar sebelum Covid-19 iaitu 3.3 peratus.

"Walaupun baru setahun, kita laksanakan dasar serta pendekatan yang jelas dan tegas yang tidak dilaksanakan sebelum ini malah ada langkah Belanjawan Madani Kedua yang telahpun dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata ketegasan kerajaan dalam tata kelola tidak boleh dipertikaikan apabila Rang Undang-Undang Kewangan Awam and Tanggungjawab Fiskal diluluskan di Dewan Rakyat.

"Semua usaha di bawah Belanjawan Madani Kedua akan menyusul setiap keutamaan Ekonomi MADANI yang dicerakinkan kepada tiga tumpuan utama iaitu tata kelola terbaik demi ketangkasan perkhidmatan; penstrukturan semula ekonomi bagi melonjak pertumbuhan; dan peningkatan darjat hidup rakyat,” katanya. - Bernama