AS$1 bersamaan RM4.98 tidak tepat - BNM

BNM pada Sabtu menolak data tidak tepat mengenai kadar pertukaran ringgit yang sedang tersebar menerusi media sosial.Gambar hiasan. Foto Bernama
BNM pada Sabtu menolak data tidak tepat mengenai kadar pertukaran ringgit yang sedang tersebar menerusi media sosial.Gambar hiasan. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Bank Negara Malaysia (BNM) menegaskan data kadar pertukaran ringgit yang diterbitkan oleh Google bagi AS$1 bersamaan RM4.98 pada 15 Mac, tidak tepat dan tidak mencerminkan dagangan sebenar.

BNM dalam satu kenyataan berkata, kadar pertukaran ringgit dan dolar Amerika Syarikat (AS) berada pada 4.7015 pada jam 9 pagi dan 4.7045 pada jam 5 petang dengan kadar intrahari tinggi sebanyak 4.7075 dalam pasaran antara bank tempatan bagi ringgit.

“Sepanjang dua minggu yang lalu (1 Mac hingga 15 Mac), nilai ringgit telah mengukuh sebanyak 0.76 peratus berbanding dengan dolar AS.

“Insiden ini merupakan kali kedua Google menerbitkan data kadar pertukaran dolar AS dan ringgit yang tidak tepat pada tahun 2024,” kata BNM pada Sabtu.

Pada 6 Februari lalu, BNM menegaskan data kadar pertukaran ringgit yang diterbitkan oleh Google pada 5 Februari adalah tidak tepat.

BNM dalam kenyataan memaklumkan, ia termasuk catatan kadar pertukaran bagi AS$1 dan ringgit iaitu RM6.24.

Susulan insiden salah lapor yang kedua, BNM memaklumkan bahawa pihaknya sekali lagi akan menghubungi Google untuk mendapatkan penjelasan tentang punca pelaporan yang tidak tepat.

Tambah kenyataan itu, institusi perbankan negara berkenaan turut meminta Google berkongsi langkah dan usaha pembetulan yang dibuat memandangkan isu telah berulang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, insiden berkenaan telah menjejaskan Malaysia dan banyak negara lain sejak beberapa bulan yang lalu.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya merujuk data rasmi, termasuk data daripada BNM. Orang ramai juga perlu mengelak daripada menggunakan, menyebarkan atau membuat spekulasi berhubung dengan sumber yang tidak disahkan sebagai rujukan bagi ringgit.

“Kadar pertukaran ialah data yang peka pasaran dan sebarang laporan yang tidak tepat serta penyebaran data yang tidak disahkan boleh mengakibatkan implikasi yang serius terhadap pasaran kewangan,” tegas BNM.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28