AS$1 bersamaan RM6.24 tidak tepat - BNM

Bank Negara Malaysia
Bank Negara Malaysia
A
A
A

BANK Negara Malaysia (BNM) menegaskan data kadar pertukaran ringgit yang diterbitkan oleh Google pada 5 Februari lalu adalah tidak tepat.

BNM dalam kenyataan memaklumkan, ia termasuk catatan kadar pertukaran bagi AS$1 dan ringgit iaitu RM6.24

“Bagaimanapun, julat perdagangan tinggi dan rendah bagi dolar AS dan ringgit yang dicatatkan dalam pasaran antara bank tempatan bagi ringgit adalah antara 4.7480 dengan 4.7630 pada 5 Februari.

“Ia sama seperti yang disiarkan melalui laman sesawang BNM,” katanya pada Selasa.

Dalam pada itu, BNM mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dalam menggunakan sumber yang tidak dapat disahkan sebagai rujukan, lebih-lebih lagi berhubung dengan ringgit.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS semasa awal dagangan pada Selasa berikutan laporan pekerjaan yang dikeluarkan minggu lalu selain isyarat kadar faedah tinggi oleh Rizab Persekutuan AS (Fed).

Pada 9.01 pagi, ringgit susut kepada 4.7570/7620 berbanding dolar AS daripada 4.7460/7520 ketika ditutup pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, dolar AS kekal pada kedudukan lebih kukuh susulan data pembayaran gaji bukan ladang (NFP) yang dikeluarkan minggu lepas adalah lebih tinggi berbanding jangkaan.

Artikel Berkaitan:

Indeks Dolar AS (DXY) dilaporkan meningkat 0.53 peratus dalam tempoh semalaman kepada 104.452 mata.