Majikan palsu dokumen mohon pekerja asing ditahan

Antara pekerja asing yang ditahan Imigresen Kuala Lumpur di sebuah sekolah sukan di Bukit Jalil, pada Khamis. Foto: Imigresen Kuala Lumpur
Antara pekerja asing yang ditahan Imigresen Kuala Lumpur di sebuah sekolah sukan di Bukit Jalil, pada Khamis. Foto: Imigresen Kuala Lumpur
A
A
A

KUALA LUMPUR - Empat majikan warga tempatan yang juga pemilik syarikat ditahan dipercayai memalsukan dokumen bagi mendapatkan kelulusan permohonan kuota pekerja asing dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0, pada Jumaat.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, susulan Ops Sapu dijalankan, keempat-empat majikan termasuk seorang wanita yang terlibat sektor perkhidmatan pembersihan dan perladangan itu telah hadir ke Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Kuala Lumpur.

"Pemilik syarikat disyaki telah memalsukan beberapa dokumen permohonan dan mengemukakan alamat syarikat yang mengelirukan serta sengaja didaftarkan bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Tindakan majikan itu bagi mendapatkan kelulusan permohonan ratusan kuota pekerja warga asing yang memohon melalui syarikat mereka dalam Program RTK 2.0," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Antara majikan yang disiasat Imigresen Kuala Lumpur pada Jumaat selepas dipercayai memalsukan dokumen bagi memohon kuota pekerja asing. Foto: Imigresen Kuala Lumpur
Antara majikan yang disiasat Imigresen Kuala Lumpur pada Jumaat selepas dipercayai memalsukan dokumen bagi memohon kuota pekerja asing. Foto: Imigresen Kuala Lumpur

Beliau berkata, mereka disiasat di bawah Seksyen 56(1)(k) Akta Imigresen 1959/63 iaitu cubaan memperolehi untuk diri orang lain (pekerja warga asing) suatu pas dengan memberi kenyataan palsu.

Jelasnya, sekiranya didapati bersalah boleh dihukum denda tidak kurang daripada RM30,000 dan penjara tidak kurang lima tahun tetapi tidak melebihi 10 tahun dan hendaklah juga dihukum sebat tidak lebih daripada enam sebatan.

Dalam operasi berlainan, satu serbuan telah dilaksanakan di sebuah sekolah sukan di Bukit Jalil, di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, seramai 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia termasuk 10 wanita yang digaji secara haram sebagai pekerja perkhidmatan pembersihan telah ditahan.

"Imigresen Kuala Lumpur turut mengeluarkan dua saman kepada wakil sekolah sukan berkenaan untuk diambil keterangan lanjut.

"Kesemua PATI berusia 25 hingga 45 tahun telah dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama," ujarnya.

Antara pekerja asing yang ditahan Imigresen Kuala Lumpur di sebuah sekolah sukan di Bukit Jalil, pada Khamis. Foto: Imigresen Kuala Lumpur
Antara pekerja asing yang ditahan Imigresen Kuala Lumpur di sebuah sekolah sukan di Bukit Jalil, pada Khamis. Foto: Imigresen Kuala Lumpur

Tegas beliau, pemilik atau majikan juga diingatkan bahawa melindungi dan menggajikan PATI dengan membenarkan mereka berada di dalam premis adalah satu kesalahan.

"Imigresen Kuala Lumpur tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak dalam menguatkuasakan undang-undang bagi memastikan kedaulatan, keselamatan dan keamanan negara dipelihara serta memastikan bandar Kuala Lumpur tidak lagi menjadi tempat yang kondusif bagi PATI," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28