Majikan digalak bina CLQ bendung masalah sosial pekerja asing

Chia Zhen ketika menjawab soalan lisan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Selasa.
Chia Zhen ketika menjawab soalan lisan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri menggalakkan majikan membina penginapan pekerja berpusat (CLQ) untuk menempatkan pekerja asing bagi mengurangkan masalah sosial di kawasan penempatan penduduk tempatan.

Exco Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India, Siam serta NGO negeri, Wong Chia Zhen berkata, penyediaan CLQ yang teratur dan terkawal memberi impak positif kepada kualiti kehidupan penduduk setempat termasuk pekerja warga asing.

Menurutnya, ia antara inisiatif bagi mengawal pergerakan atau aktiviti pekerja asing di kawasan perumahan tempatan.

“Ia dapat memastikan keselamatan dan keselesaan komuniti penduduk tempatan lebih terjamin, pengawalan penyakit berjangkit serta kesesakan lalu lintas menjadi lebih terkawal.

“CLQ juga dapat mengurangkan masalah sosial serta pertembungan budaya antara pekerja asing dan penduduk tempatan,” katanya ketika menjawab soalan lisan Khairul Anuar Ramli (Lunas-Bersatu) berkaitan inisiatif kerajaan menyediakan penempatan pekerja asing di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Selasa.

Chia Zhen berkata, Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) mewajibkan majikan atau penyedia penginapan menyediakan penginapan pekerja dengan mematuhi standard minima yang ditetapkan.

“Saya percaya penguatkuasaan akta ini bagi memastikan persekitaran tempat tinggal lebih selamat, bersih dan kondusif kepada pekerja.

“Disebabkan itu majikan digalakkan menyediakan CLQ bagi memudahkan pengurusan penginapan pekerja lebih teratur dan terkawal sekali gus memudahkan pemantauan pihak berkuasa,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya lagi, antara kawasan pembinaan CLQ ialah di daerah Kulim dan sekitar Kulim Hi-Tech Park (KHTP) sebanyak 3,669 unit bagi menampung 30,541 pekerja warga asing.

“Sehingga kini, 911 unit baharu bagi menampung 8,919 pekerja asing sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada tahun depan.

“Anak syarikat kerajaan negeri, Kulim Technology Park Corporation (KTPC) juga mengambil inisiatif menyediakan CLQ. Pihak berkuasa tempatan (PBT) Taman Perindustrian Hi-Tech Kulim juga meluluskan pembangunan CLQ yang dijangka siap April tahun depan memuatkan 1,500 pekerja warga asing,” ujarnya.

Chia Zhen memaklumkan, sebuah CLQ sementara di tapak pembinaan di kawasan Zon Industri Fasa 4 KHTP memuatkan 1,200 pekerja warga asing turut dibina.

“Pembinaan bagi projek pembangunan CLQ akan bertambah mengikut keperluan industri atau pertambahan pekerja asing dari semasa ke semasa,” jelasnya.

Menurutnya lagi, Jawatankuasa Kejiranan perlu merancang program kesedaran keselamatan dengan kerjasama pihak berkuasa dan komuniti setempat untuk menjaga kebajikan dan keselamatan bersama.

“Rondaan dan operasi secara berkala penduduk setempat dengan pihak berkuasa juga dapat membantu mengurangkan isu jenayah dan rasuah yang mungkin timbul akibat penempatan pekerja asing,” katanya lagi.

Chia Zhen berkata, kerajaan negeri juga akan memastikan pekerja asing tidak mengambil alih peluang perniagaan yang sepatutnya dimiliki penduduk tempatan.

“Antara dilakukan, menetapkan dasar gaji dan syarat buruh yang adil untuk memastikan pekerja tempatan dan pekerja asing diperlakukan secara saksama.

“Memperkasakan penguatkuasaan dan pematuhan terhadap undang-undang buruh dan imigresen bagi memastikan syarat-syarat kerja pekerja asing dipatuhi,” ujarnya.

Tambah beliau, program pembangunan kemahiran dan usahawan kepada pekerja dan peniaga tempatan dianjurkan agar mereka boleh meningkatkan kebolehpasaran dalam persaingan perniagaan.