Permit masuk 4 hutan simpan kekal di Hulu Perak dibeku

Notis pembekuan pemberian permit memasuki hutan simpan kekal di daerah Hulu Perak telah dikeluarkan Jabatan Perhutanan Perak. Foto: Ihsan Jabatan Perhutanan Perak
Notis pembekuan pemberian permit memasuki hutan simpan kekal di daerah Hulu Perak telah dikeluarkan Jabatan Perhutanan Perak. Foto: Ihsan Jabatan Perhutanan Perak
A
A
A

IPOH - Jabatan Perhutanan Perak mengeluarkan notis arahan pembekuan kelulusan permit memasuki empat hutan simpanan kekal di daerah Hulu Perak bagi tujuan rekreasi berkuat kuasa serta-merta.

Pengarahnya, Datuk Mohd Sabri Abdul Manaf berkata, tempoh pembekuan itu dilaksanakan selama tiga bulan bermula pada Jumaat sehingga 15 Jun depan.

Menurut beliau, kawasan terlibat melibatkan Hutan Simpan Amanjaya, Hutan Simpan Banding, Hutan Simpan Temengor dan Hutan Simpan Gerik.

"Bagi tujuan penguatkuasaan dan kawalan terhadap sumber hutan, semua pemberian Permit Memasuki Hutan Simpan Kekal bagi tujuan rekreasi seperti aktiviti pacuan empat roda, 'motorcross', basikal lasak, memancing dan lain-lain lagi dibekukan berkuat kuasa serta-merta.

"Adalah dimohon untuk membuat kawalan agar semua kelulusan yang telah diberikan dibatalkan serta-merta dan tiada kelulusan baharu diberikan kepada pemohon," katanya di sini pada Jumaat.

Mohd Sabri berkata, sebarang ketidakpatuhan arahan boleh disabitkan di bawah Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian)1985.

"Pihak pengurusan Jabatan Perhutanan negeri tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang liabiliti, kerosakan, kerugian atau kemudaratan yang berlaku kepada orang awam akibat ketidakpatuhan ini," katanya.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan sekumpulan lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan mengebom ikan apabila beberapa bangkai haiwan itu ditemui di sekitar kawasan sungai dalam hutan.

Artikel Berkaitan:

Kejadian itu disedari seorang pemancing dikenali Faizal bersama lapan rakannya yang datang ke kawasan hutan itu untuk memancing dan beriadah.

Hasil siasatan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) melalui Pejabat Perikanan Daerah Hulu Perak, ikan 'kayangan' yang boleh mencecah ribuan ringgit seekor seperti kelah dan tengas antara spesies didapati mati akibat tangkapan dilarang oleh sekumpulan individu tidak bertanggungjawab sepertimana tular di media sosial baru-baru ini.

Ikan kelah iaitu ‘Tor Tambroides’ merupakan spesies dilindungi di bawah Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) Perak 1992, Jadual Kedua Kaedah 3 (4) yang menyatakan larangan menangkap, membunuh dan memiliki kecuali mendapat kelulusan bertulis pegawai perikanan darat.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28