Anggota polis maut terkena tembakan semasa operasi hutan simpan

Jenazah anggota polis yang maut dibawa keluar dari Hospital Sik untuk dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar bagi tujuan bedah siasat pada petang Khamis.
Jenazah anggota polis yang maut dibawa keluar dari Hospital Sik untuk dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar bagi tujuan bedah siasat pada petang Khamis.
A
A
A

SIK - [DIKEMAS KINI] Seorang anggota polis cawangan khas Ibu Pejabat Polis Kedah (IPK) Kedah maut terkena tembakan semasa operasi menyiasat pencerobohan dan pemburuan haram di dalam kawasan Kompartmen 124 Hutan Simpan Ulu Muda di sini, awal pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata, siasatan awal mendapati sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik, anggota Cawangan Khas IPK Kedah dan pasukan Pejabat Hutan Daerah Kedah Tengah dibantu oleh orang awam memasuki kawasan Hutan Simpan Ulu Muda pada 12 tengah hari, Selasa lalu.

Menurutnya, tujuan mereka ke kawasan tersebut adalah untuk menyiasat pencerobohan dan pemburuan haram yang dipercayai berlaku di kawasan tersebut dan kesemua kekuatan bermalam di Kompartmen 103, Hutan Simpan Ulu Muda.

"Semalam (Rabu), pada kira-kira jam 3 petang, mangsa bersama dua orang awam dipercayai bergerak ke kompartmen 124 di dalam kawasan Hutan Simpan Ulu Muda dengan menggunakan kenderaan awam untuk membuat pemerhatian dan menjalankan siasatan.

"Namun sehingga jam 6.30 petang, mereka didapati masih belum pulang ke tempat penginapan yang terletak di kompartmen 103," katanya pada sidang media di IPD Sik di sini pada Khamis.

Jelas Abdull Razak, usaha mencari mereka kemudian dijalankan oleh ahli pasukan yang lain namun hanya menemui kenderaan yang digunakan di persimpangan di antara kompartmen 124 dan 125.

Menurutnya, dalam kejadian itu, ketiga-tiga mereka termasuk mangsa dipercayai tersesat akibat cuaca gelap.

"Namun pada jam 2 pagi (Khamis), terdengar satu letupan dipercayai mangsa terkena tembakan di bahagian hadapan badan.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa kemudian dibawa balik ke kompartmen 103 dan dihantar ke Hospital Sik untuk tindakan lanjut.

"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia," ujar beliau.

Tambahnya, seorang lelaki warga emas berusia 65 tahun ditahan untuk membantu siasatan.

"Suspek ditahan jam 2 petang ketika hadir menyerah diri di Balai Polis Sik pada Khamis.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan dan suspek akan direman di Mahkamah Sungai Petani pada Jumaat," katanya.

Abdull Razak menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes itu.

Katanya, pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca tembakan yang menyebabkan kematian anggota terbabit.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28