Tiga lelaki diberkas disyaki baling molotov coctail

Kesan dipercayai akibat balingan Molotov Cocktail ke rumah mangsa.
Kesan dipercayai akibat balingan Molotov Cocktail ke rumah mangsa.
A
A
A

KULAI – Tiga lelaki warga tempatan diberkas dipercayai terlibat dengan kes khianat membaling molotov cocktail ke sebuah rumah di Taman Damai dekat sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tan Seng Lee berkata, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 1.50 petang Rabu lalu susulan laporan polis yang dibuat oleh seorang lelaki warga emas berusia 70 tahun yang mendapati terdapat kesan terbakar di hadapan pagar rumahnya.

Menurutnya, setelah membuat semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mangsa mendapati dua suspek menaiki motosikal telah membaling molotov cocktail ke arah pagar rumahnya.

“Bertindak atas maklumat pada jam 3 hingga 5 pagi Khamis, sepasukan pegawai dan anggota polis daerah Kulai telah membuat dua serbuan di lokasi berbeza di kawasan Seri Alam.

“Hasil serbuan tersebut, polis berjaya menahan tiga lelaki warga tempatan berusia antara 16 hingga 29 tahun dan dipercayai terlibat dengan kes khianat berkenaan.

“Dalam serbuan tersebut polis turut merampas dua telefon bimbit serta pakaian yang digunakan suspek ketika melakukan perbuatan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Seng Lee berkata, hasil semakan mendapati kedua-dua suspek masing-masing memiliki satu rekod jenayah dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi menyiasat penglibatan suspek dalam lain-lain kes jenayah sama ada di dalam dan luar daerah Kulai.

"Kedua-dua suspek turut mengaku mereka telah mengatur dan mengambil upah membaling Molotov Cocktail ke rumah terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati negatif daripada pengambilan sebarang jenis dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan," katanya.

Kedua-dua suspek kini direman selama empat hari mulai Khamis hingga Ahad ini dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 14 tahun serta denda.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28