Geng Boy tumpas, tiga lelaki diberkas

Antara barangan yang dirampas bagi membantu siasatan.
Antara barangan yang dirampas bagi membantu siasatan.
A
A
A

HULU SELANGOR - Polis menumpaskan kegiatan samun didalangi Geng Boy yang dipercayai aktif melakukan jenayah di sekitar daerah ini, susulan tangkapan tiga lelaki pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim berkata, pihaknya menjalankan serbuan di beberapa lokasi di Rawang termasuk stor jentera berat di Serendah dekat sini pada jam 2.30 pagi.

"Kita telah menahan tiga lelaki warga tempatan berusia 31 tahun hingga 46 tahun.

"Polis turut merampas dua unit kelengkapan bengkel, satu unit gergaji, sebilah parang, telefon bimbit, pelbagai jenis alatan kegunaan kerja-kerja pembersihan dan alatan kerja pertukangan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, modus operandi kumpulan penjenayah itu adalah mereka menyasarkan gudang dan stor yang digunakan untuk meletakkan barangan, peralatan serta mesin.

"Suspek memecah masuk ke dalam premis berkenaan serta mengacukan senjata ke arah mangsa, sebelum melarikan barang tersebut," katanya.

Beliau berkata, semakan lanjut mendapati dua suspek mempunyai rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.

"Ujian air kencing terhadap kesemua suspek didapati negatif. Mereka telah direman selama tujuh hari sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Faizal berkata, pihaknya percaya dengan tertangkapnya kesemua suspek itu, polis berjaya menyelesaikan tiga kes samun di daerah ini.

"Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan kes jenayah dan dadah kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.