Lagi premis kawasan larangan merokok

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KLUANG - Pejabat Kesihatan Daerah Kluang mewartakan sebanyak 1,404 premis di daerah ini sebagai kawasan larangan merokok termasuklah kedai makan yang tidak berlesen.

Pegawai Kesihatan Daerah, Dr Nizam Subahir berkata tindakan mewartakan kawasan larangan merokok ini bermula sejak 1 Januari lepas dan pihaknya telah melakukan pemantauan terhadap 363 premis makanan.

Katanya, semua kedai makan tidak terkecuali dengan arahan larangan berkenaan termasuk juga terhadap kedai yang tidak mempunyai lesen perniagaan yang dikeluarkan pihak berkuasa.

“Sehingga hari ini, 32 notis telah dikeluarkan kepada pemilik premis yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok di kawasan premis masing-masing dan operasi pemantauan ini akan dilaksana secara berperingkat.

Artikel Berkaitan:

Sepanjang tempoh tersebut, hanya satu notis amaran telah dikeluarkan dan ini menunjukkan orang ramai termasuk pemilik kedai mula mematuhi pelaksanaan larangan ini,” katanya kepada pemberita selepas Taklimat Berkenaan Pewartaan Kawasan Larangan Merokok di Premis Makanan di Dewan Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) di sini, hari ini.

Kata Nizam lagi, operasi tinjauan dan pemantauan juga akan diteruskan untuk memberi pendidikan kepada pemilik premis dan masyarakat dengan mengedarkan risalah berkenaan isu tersebut sebelum penguatkuasaan penuh pada 1 Julai ini.

Katanya, dengan tinjauan yang dilakukan ianya akan memberikan 'penguatkuasaan secara mendidik’ sebagai langkah memberi kesedaran awal bahawa undang-undang yang dikuatkuasakan oleh kerajaan ini bukannya main-main.

“Pendidikan awal ini penting bagi mengelak masyarakat mempersoal tindakan pihak berkuasa mengenakan denda kepada mereka selain memberi penerangan bahawa penguatkuasaan ini turut meliputi penggunaan rokok elektronik.

Walaupun kami menghadapi kekangan dengan kekurangan anggota jika hendak dibandingkan dengan jumlah premis yang ada, saya yakin pelaksanaan penguatkuasa ini akan dapat dilaksanakan sebaiknya sekiranya terdapat sokongan daripada masayarakat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pemilik kedai makan agar sentiasa memastikan tanda larangan merokok dipasang di sudut premis sebagai peringatan kepada pelanggan dengan mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan. - Bernama