Kerajaan pertimbang tak libatkan pelajar sekolah dalam PLKN

Mohamed Khaled ketika sidang media pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama
Mohamed Khaled ketika sidang media pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan mempertimbangkan untuk tidak melibatkan pelajar sekolah dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang bakal diperkenalkan semula, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, ketetapan mengenai peserta PLKN masih dalam peringkat rundingan dan belum dimuktamadkan setakat ini.

"PLKN mungkin tidak akan melibatkan mereka yang masih bersekolah, mungkin selepas (tamat) sekolah.

'Itu semua kita sedang pertimbangkan dan kita mengambil maklum kebimbangan (ibu bapa) untuk kita menyesuaikannya," katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan bercadang melaksanakan semula PLKN yang dimansuhkan pada 2018 menerusi dua fasa iaitu Fasa 1 melibatkan pelajar tingkatan empat menerusi sukatan pelajaran Kementerian Pendidikan (KPM) yang mempunyai kokurikulum seperti kadet polis, bomba dan pengakap.

Pelajar Tingkatan Lima dikecualikan menjalani latihan Fasa 1 untuk memberi laluan kepada mereka melakukan persediaan menempuh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun akan menyertai Fasa 2 di kem latihan tentera wataniah sedia ada.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, program yang berasaskan 80 peratus latihan ketenteraan dan 20 peratus modul kenegaraan itu dijadual dilaksanakan tahun depan.

"Kurikulum untuk kenegaraan akan dibincangkan bersama Kementerian Pendidikan Tinggi kerana ia melibatkan elemen perpaduan dan sebagainya, itu kita beri perhatian.

Artikel Berkaitan:

"Bagi aspek ketenteraan pula memang akan dibuat Kementerian Pertahanan," katanya.

Sementara itu ketika menggulung Usul Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini, Mohamed Khaled berkata, projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) mencatatkan kemajuan semasa 67.57 peratus setakat Januari lepas.

Beliau berkata, kerja-kerja pembinaan kapal LCS2 dan LCS3 masing-masing dijangka mencapai 78.17 peratus dan 61.48 peratus menjelang akhir tahun ini.

"...manakala kemajuan kerja bagi LCS4 dan LCS5 masing-masing dijadualkan 53.4 peratus dan 44.1 peratus yang disumbangkan daripada elemen peralatan dan modul blok yang telah dibina,” katanya.

Dalam pada itu menjawab celahan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) berhubung Majlis Angkatan Tentera tidak perlu mendengar arahan dan pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam isu membabitkan penyelarasan pencen veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mohamed Khaled berkata majlis itu tertakluk kepada arahan pekeliling atau dasar perkhidmatan awam.

Beliau berkata, ini kerana di bawah Perkara 132 (1) Perlembagaan Persekutuan, ATM merupakan sebahagian daripada perkhidmatan awam manakala Perkara 132 (2) (a) menyatakan anggota perkhidmatan awam memegang jawatan selama diperkenan Yang di-Pertuan Agong. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28