PSI: Nelayan terpaksa cari ikan sehingga 20km

Kerja tapak yang sedang giat dijalankan di tapak Projek PSI yang terletak di selatan pulau Pulau Pinang.
Kerja tapak yang sedang giat dijalankan di tapak Projek PSI yang terletak di selatan pulau Pulau Pinang.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Nelayan di kawasan Teluk Tempoyak dan Permatang Damar Laut terpaksa menangkap ikan di kawasan yang lebih jauh berikutan kerja tapak bagi Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) di selatan pulau negeri itu telah bermula sejak September tahun lalu.

Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang (PenMutiara), Ibrahim Che Ros berkata, nelayan di kedua-dua kawasan tersebut terpaksa ke Pulau Rimau dan Pulau Betong untuk mencari rezeki selepas tiada hasil laut di kawasan berhampiran.

Menurutnya, keadaan itu berlaku kerana kawasan di tapak projek dipenuhi selut.

Ibrahim
Ibrahim

"Kawasan yang biasa kami tangkap ikan dan hasil laut lain dipenuhi selut susulan kerja tapak projek yang dijalankan oleh pihak pemaju. Kawasan yang dipenuhi itu seluas kira-kira lapan kilometer.

"Disebabkan kawasan itu dipenuhi selut, ikan dan udang serta hidupan laut lain langsung tak ada di situ. Nelayan pun balik tangan kosong.

"Sebab itu kami terpaksa keluar ke kawasan lebih jauh sehingga 20 kilometer untuk menangkap ikan. Apabila pergi jauh, maka kos pun akan bertambah kerana bot perlu keluar ke kawasan seperti Pulau Rimau, Pulau Betong dan kawasan Jambatan Kedua Pulau Pinang," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Tambah Ibrahim, pendapatan nelayan terlibat juga terjejas teruk sejak kerja di tapak projek tersebut dijalankan.

Artikel Berkaitan:

"Nelayan tidak mampu lagi nak buat apa-apa, nak bantah pun tak boleh sebab Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) projek Pulau Silikon telah memperoleh kelulusan rasmi daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang pada 21 Julai tahun lalu.

"Setiap hari tengok jentera besar di kawasan laut yang selalu kami pergi, tengah menjalankan kerja awal tapak," katanya lagi.

Ibrahim berkata, rasa tidak puas hati dengan tawaran yang diberikan punca masih ada nelayan yang tidak mahu menerima saguhati menerusi Skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP).

"Jika nak diikutkan, nelayan di Teluk Tempoyak antara yang paling terkesan dengan projek ini tetapi kami ditawarkan dengan pakej ex-gratia tahap 2.

"Jika kerajaan negeri masih dengan tawaran mereka, kami nelayan di Teluk Tempoyak tidak akan menandatangani tawaran yang diberikan itu," katanya.

Sebelum ini, nelayan di beberapa kawasan di selatan pulau Pulau Pinang mendakwa tangkapan udang mengalami penurunan ketara iaitu sebanyak 50 peratus sejak September tahun lalu.

Mereka mendakwa, secara khususnya, purata tangkapan udang pada suku keempat 2021 dan 2022 ialah 185.65 kilogram (kg).

Bagaimanapun, dalam tempoh sama pada 2023, angka tersebut menjunam kepada purata 92.7 kg.

Kerajaan Pulau Pinang sebelum ini mengumumkan EMP bagi projek Pulau Silikon telah memperoleh kelulusan rasmi daripada JAS Pulau Pinang pada 21 Julai tahun lalu.

Kelulusan itu susulan daripada Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi Projek PSI yang telah diberi kelulusan dengan 71 syarat oleh JAS pusat melalui surat bertarikh 11 April 2023.

Susulan daripada itu, nelayan melalui PenMutiara telah mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan JAS berhubung kelulusan Laporan EIA bagi Projek PSI berkenaan.

Ini kerana, menurut nelayan, walaupun skop projek telah dikecilkan, projek berkenaan tetap akan merosakkan alam sekitar dan ekosistem hidupan laut.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28