700 penduduk dakwa tiada bekalan air bersih sejak setahun lalu
KUALA KRAI - Kira-kira 700 penduduk di tiga kampung di Mukim Manjor, di sini mengalami masalah bekalan air bersih sejak lebih setahun lalu.
Keadaan melibatkan Kampung Lela Jasa, Lebur dan Sungai Rek itu berlarutan sehingga mereka terpaksa menyambut Ramadan tahun ini dalam keadaan kesukaran kerana ketiadaan bekalan air bersih.
Penoreh getah, Mukhtar Ibrahim, 50, berkata, ketiadaan bekalan air bersih menyebabkan dia terpaksa menyedut air dari Sungai Rek yang terletak satu kilometer dari rumahnya untuk kegunaan harian bagi membasuh pakaian dan mandi manakala bagi mereka yang jauh dari sungai akan memunggah air dari rumah saudara-mara yang terdekat.
Katanya, menyukarkan lagi keadaan itu apabila anak-anaknya masih kecil dan bersekolah selain terpaksa membeli air botol minuman untuk kegunaan memasak atau minum.
“Kampung kami tiada air bersih untuk digunakan dan amat sukar lebih-lebih lagi ketika sedang berpuasa di bulan Ramadan sekarang ini.
“Saya terpaksa bina sendiri paip getah sejauh satu kilometer untuk mengepam air dari Sungai Rek menggunakan pam enjin yang dibeli dengan harga RM400 bagi kegunaan di rumah,” katanya ketika ditemui di Sungai Rek di sini, pada Isnin.
Peniaga kedai makan, Yazid Yaacob, 62, berkata, dia sukar untuk menjalankan perniagaan dan kehidupan seharian tanpa bekalan air bersih sejak Ogos tahun lalu itu.
Katanya, penduduk sendiri cuba menyelesaikan masalah itu denganberkongsi wang membina satu telaga tiub yang menelan kos sekitar RM15,000 kerana kedalaman lebih 50 meter yang perlu digali untuk mendapatkan sumber air di kawasan itu.
“Kami hanya mampu bina satu telaga tiub untuk dikongsi seramai 40 penduduk namun air dari telaga tiub itu juga tidak mencukupi selain kering pada musim panas dan kemarau.
“Sebab itu saya terpaksa ambil air dari telaga tiub di masjid yang terletak bersebelahan rumah dan membayar RM20 setiap kali mengisi kira-kira 200 gelen air dalam tangki,” ujarnya.
Seorang suri rumah, Rohaya Che Soh, 53, berkata, keadaan air Sungai Lebir yang digunakan keluarganya lebih keruh berbanding di Sungai Rek menyebabkan cucu-cucunya yang masih kecil mengalami kegatalan kulit.
Katanya, pam yang digunakan beberapa kali rosak dan perlu diganti dengan baharu selepas meletup akibat kelodak tebal dan berharap pihak berwajib mengambil perhatian untuk menyelesaikan masalah itu.
“Sudah beberapa aduan dibuat tetapi masalah ini belum selesai dan kami terus bersusah payah serta sengsara sendiri untuk mendapatkan bekalan air termasuk menadah air hujan semasa musim tengkujuh selain bil elektrik melambung dua kali ganda kerana penggunaan kuasa pam enjin.
“Kami berharap pihak kerajaan dapat membantu membekalkan bekalan air bersih ke kampung ini bagi kegunaan semua penduduk,” katanya.
Sinar Harian dalam usaha mendapatkan maklum balas daripada pihak berkenaan berhubung masalah ini.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!