Lahir tahun 1964 dapat masuk Zoo Taiping percuma

Khairul Amir (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Kah Woh selepas Majlis Perasmian Ulang Tahun ke-63 ZTNS di Pavilion ZTNS di sini pada Sabtu.
Khairul Amir (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Kah Woh selepas Majlis Perasmian Ulang Tahun ke-63 ZTNS di Pavilion ZTNS di sini pada Sabtu.
A
A
A

TAIPING - Bersempena Sambutan Ulang Tahun ke-63 Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS), pengunjung yang lahir pada tahun 1964 dibenar memasuki taman mergastua itu secara percuma.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, program itu merupakan sebahagian usaha sempena sambutan berkenaan selain menyemarakkan Sambutan Ulang Tahun ke-150 bandar Taiping serta Tahun Melawat Perak 2024.

Menurutnya, dalam pada itu pihak ZTNS turut melancarkan semula Pakej Pendidikan bagi menarik minat pengunjung dalam kalangan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

"Pakej-pakej ini memudahkan para peminat dan pengunjung memilih aktiviti yang diminati dengan bayaran serendah RM16 seorang selain menghayati dam menghargai khazanah alam semula jadi.

"Melalui pakej ini, kita menyasarkan kira-kira 5,000 pengunjung dalam kalangan kanak-kanak dan pelajar akan melanggan pakej pendidikan pada tahun ini," katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Ulang Tahun ke-63 ZTNS di Pavilion ZTNS di sini pada Sabtu.

Hadir menyempurnakan perasmian berkenaan, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh merangkap Ahli Parlimen Taiping.

Kah Woh (tengah) dan Khairul Amir (dua dari kiri) bersama tetamu kehormat memotong kek sebagai gimik Majlis Perasmian Ulang Tahun ke-63 ZTNS di Pavilion ZTNS di sini pada Sabtu.
Kah Woh (tengah) dan Khairul Amir (dua dari kiri) bersama tetamu kehormat memotong kek sebagai gimik Majlis Perasmian Ulang Tahun ke-63 ZTNS di Pavilion ZTNS di sini pada Sabtu.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairul Amir berkata, pada tahun 2023 seramai 680,305 orang pengunjung dicatatkan di ZTNS dan tahun ini pihaknya menyasarkan sebanyak 800,000 kunjungan dengan penganjuran pelbagai acara menarik seperti Zoorama, Minggu Burung Taiping dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dalam pada itu, kemasukan percuma diberikan untuk setiap pengunjung ke-150 setiap hari sehingga 31 Disember 2024.

"Zoo Taiping merupakan zoo awam tertua di Malaysia dan salah satu zoo yang dikendalikan oleh pihak berkuasa tempatan sejak awal penubuhannya pada tahun 1961 sebelum dilancarkan pada 7 Mac 1964.

"Bermula dengan keluasan 24 ekar (9.6 hektar), hari ini ZTNS memiliki keluasan 34 ekar (13.6 hektar) dengan mempamerkan 1,500 haiwan daripada 130 jenis spesis," katanya.

Sementara itu, Kah Woh dalam ucapan perasmiannya turut mengumumkan RM20,000 kepada ZTNS bagi merancakkan lagi kehadiran pengunjung melalui pakej pendidikan yang disediakan.

Menurutnya, peruntukan itu akan membolehkan kira-kira 1,000 pelajar sekolah merasai pengalaman di ZTNS secara percuma.