Muhyiddin cabar tujuh kerusi wakil rakyat PN 'belot' diisytihar kosong

A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan dicabar mengisytiharkan kekosongan kerusi di enam kawasan Parlimen dan satu Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor membabitkan wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) yang belot.

Kerusi terlibat adalah Parlimen Tanjong Karang, Bukit Gantang, Jeli, Gua Musang, Kuala Kangsar, Labuan dan DUN Selat Klang.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mandat perlu dikembalikan kepada rakyat untuk membuat keputusan setelah wakil rakyat PN yang dipilih dalam pilihan raya umum (PRU) lalu mengkhianati parti dengan menyokong kerajaan.

Beliau percaya, rakyat sendiri menolak tindakan Pakatan Harapan dah Barisan Nasional (PH-BN) yang kini dalam keadaan terdesak untuk menarik sokongan ahli Parlimen pembangkang.

"Jika berani, isytiharkan enam kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN Selangor kosong.

"Kita kembalikan mandat kepada rakyat dan biarlah rakyat yang membuat perhitungan.

"Saya bukan hendak mendabik dada, tetapi saya yakin, insya-ALLAH, PN akan menang lebih besar di kerusi-kerusi ini jika pilihan raya kecil diadakan," katanya ketika berucap sempena Majlis Konvensyen Wakil-Wakil Rakyat Perikatan Nasional (PN) di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, enam Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyatakan sokongan kepada Anwar adalah Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar); dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, Perhimpunan Agung Khas Bersatu pada 2 Mac lalu meluluskan pindaan perlembagaan parti itu berhubung pelucutan keahlian parti bagi ahli Parlimen dan ADUN serta Ahli Dewan Negeri yang menyokong mana-mana pihak yang bertentangan dengan parti atau musuh.

Bagaimanapun, pada 6 Mac, ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari pula mengisytiharkan sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari.

Sehubungan itu, Muhyiddin mendakwa, Kerajaan Madani sedar kedudukan mereka yang tidak begitu kukuh menyebabkan wujud cubaan untuk melemahkan kedudukan PN dengan menawarkan pelbagai habuan untuk menyokong kerajaan.

"Saya nak beritahu Perdana Menteri. Buatlah apa pun. Tindakan itu tidak akan mengubah tanggapan negatif rakyat kepada kerajaan pimpinan kamu yang gagal mentadbir negara dengan baik.

"Sebaliknya, saya percaya tindakan itu akan 'backfire' kepada kerajaan PH-BN.

"Rakyat tahu sandiwara kamu. Rakyat tahu tujuan kamu. Rakyat benci dengan perbuatan kamu," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28