Bersatu lulus pinda perlembagaan lucut keahlian MP sokong Anwar

Muhyiddin (duduk, tengah) pada sidang media khas Perhimpunan Agung Bersatu 2024 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang pada Sabtu.
Muhyiddin (duduk, tengah) pada sidang media khas Perhimpunan Agung Bersatu 2024 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang pada Sabtu.
A
A
A

SELAYANG - [DIKEMAS KINI] Perhimpunan Agung Khas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Sabtu meluluskan pindaan perlembagaan parti itu berhubung pelucutan keahlian bagi ahli Parlimen yang menyokong pihak lawan.

Pindaan berkenaan melibatkan tambahan tiga perkara baharu dalam Fasal 10 Perlembagaan Bersatu.

Kelulusan sebulat suara pindaan itu diumumkan Pengerusi Tetap Bersatu, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dengan kelulusan itu, keahlian ahli parti yang menyokong pihak lawan akan terhenti selepas pindaan Perlembagaan itu diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Bagaimanapun tegasnya, Bersatu akan meminta pengesahan muktamad daripada enam ahli Parlimen yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlebih dahulu kerana pindaan itu akan memberi kesan kepada kerusi mereka.

“Kita akan bawa perkara ini (pindaan Perlembagaan) kepada RoS untuk diluluskan dan apabila ia lulus maka kita akan kuat kuasakan perkara ini serta-merta.

“Langkah selepas itu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin akan menulis surat kepada semua enam ahli Parlimen untuk mengesahkan betul atau tidak mereka sokong Perdana Menteri.

"Kalau mereka kata ya, maka terkesan kerusi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas berakhir Perhimpunan Agung Khas Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang.

Enam ahli Parimen Bersatu yang menyokong Anwar ialah Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Tambahan fasal yang dibuat parti itu membabitkan Fasal 10.4 yang menggariskan, “mana-mana ahli Bersatu yang merupakan wakil rakyat di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Dewan Negeri yang melakukan ketidakpatuhan terhadap apa-apa arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi yang selari dengan Fasal 10.5 adalah disifatkan sebagai terhenti keahliannya dari parti Bersatu secara serta-merta”.

Fasal 10.5 memperuntukkan “Majlis Pimpinan Tertinggi boleh mengeluarkan apa-apa arahan khusus kepada mana-mana atau semua wakil rakyatnya di Dewan Rakyat atau DUN atau Dewan Negeri. Semua arahan yang dikeluarkan di bawah Fasal itu hendaklah dibuat secara bertulis”.

Fasal 10.6 pula menyebut “Merujuk kepada Fasal 10.4, Setiausaha Agung di atas arahan Majlis Pimpinan Tertinggi hendaklah mengeluarkan satu notis kepada ahli berkenaan yang memaklumkan bahawa keahlian beliau telah terhenti secara serta-merta dan bahawa nama beliau telah dikeluarkan daripada sistem pendaftaran keahlian parti Bersatu”.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, jika keenam-enam ahli Parlimen itu kekal dengan pendirian asal, maka kerusi mereka perlu dikosongkan.

Justeru, beliau berharap Speaker Dewan Rakyat menerima keputusan pindaan perlembagaan berkenaan dan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tentang kekosongan kerusi tersebut.

“Kita harap SPR akan menetapkan tarikh untuk kita mengadakan pilihan raya kecil (PRK) di kesemua enam kawasan Parlimen yang terlibat.

“Saya telah nyatakan secara terbuka mengenai perkara ini ketika berucap, ahli parti nampaknya cukup bersetuju dengan tindakan kita dan kita sudah pun mula buat persiapan (PRK) bagi semua kawasan itu,” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

@sinarharianonline

Bersatu lulus pinda perlembagaan lucut keahlian MP sokong Anwar #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Politik #Nasional #Semasa #Bersatu #Parti #MP #Anwar #Perlembagaan #Parlimen #Pindaan

Earned It (Fifty Shades Of Grey) - A Tribute to The Weeknd - Saxtribution