'Usul bahas isu persempadanan Malaysia dan Indonesia ditolak' - Wan Ahmad Fayhsal

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memaklumkan bahawa usul yang dikemukakannya bagi mengadakan sesi perbahasan berhubung penerangan Perdana Menteri mengenai isu persempadanan Malaysia dan Indonesia telah ditolak oleh Dewan Rakyat.
Beliau berkata, usul tersebut dikemukakan mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1) dan 18(2) untuk membolehkan Parlimen membahaskan keputusan Mesyuarat Bersama Indonesia–Malaysia ke-45 yang berlangsung pada 18 Februari 2025 berkaitan penyelesaian masalah sempadan tertangguh (Outstanding Boundary Problems – OBP) antara kedua-dua negara.
“Usul untuk membahaskan kedaulatan negara berhubung jajaran baharu sempadan Malaysia–Indonesia, yang didakwa melibatkan kehilangan kira-kira 5,000 hektar tanah, telah ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Menurut beliau, penolakan usul tersebut menafikan ruang perbahasan terbuka di Parlimen terhadap isu yang disifatkan sebagai berkepentingan nasional.
“Di luar kami dimaki hamun dan dituduh malas membaca. Seperti dicabar Ketua Whip Kota Bharu, buka gelanggang dahulu supaya dapat dinilai sama ada dakwaan ini benar atau sebaliknya.
“Zahirkan semua kandungan rundingan dan perjanjian dalam Parlimen. Jangan sekadar bercakap soal tidak akan menggadai walau seinci tanah,” katanya.
Dalam hantaran sama, Wan Ahmad Fayhsal turut memuat naik salinan surat jawapan daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berhubung usul yang difailkannya.
Menurut surat tersebut, Speaker Dewan Rakyat memaklumkan isu yang dibangkitkan telahpun diberi penjelasan melalui penerangan Perdana Menteri di Dewan Rakyat.
“Sehubungan itu, selaras dengan Peraturan Mesyuarat 18(7)(b), saya menolak usul Yang Berhormat dalam kamar,” menurut kandungan surat berkenaan.
Terdahulu, Wan Ahmad Fayhsal dilaporkan menyatakan keperluan sesi perbahasan tersebut bagi merungkai beberapa perkara yang masih tidak jelas, termasuk status kira-kira 5,207 hektar kawasan OBP yang didakwa tidak dimiliki secara jelas oleh mana-mana negara.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa keseluruhan kawasan pertikaian OBP Sungai Sinapad–Sungai Sesai seluas 5,207 hektar sememangnya berada dalam kawasan pentadbiran Indonesia.
Bagaimanapun beliau berkata, hasil pengukuran dan penandaan semula sempadan Malaysia–Indonesia bagi dua kawasan OBP berkenaan, Malaysia memperoleh tambahan kawasan seluas 780 hektar.
Menurut Anwar, kawasan tersebut melibatkan sebahagian kecil daripada tiga kampung iaitu Kampung Kabulanggalo, Kampung Lepaga dan Kampung Tetagas yang kini berada dalam wilayah Malaysia.
Beliau turut menjelaskan bahawa penetapan sempadan di kawasan OBP adalah berdasarkan prinsip perjanjian 1915, dengan baki seluas 5,987 hektar kekal di bawah pentadbiran Indonesia.
Ringkasan AI
- Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyatakan bahawa usul perbahasan tentang isu persempadanan Malaysia-Indonesia ditolak
- Usul tersebut untuk membahaskan keputusan Mesyuarat Bersama Indonesia-Malaysia ke-45 berkaitan penyelesaian masalah sempadan tertangguh
- Usul ditolak kerana isu sudah diberi penjelasan oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat
- Penolakan usul menafikan ruang perbahasan terbuka di Parlimen tentang isu berkepentingan nasional
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan Malaysia memperoleh tambahan 780 hektar dari pengukuran semula sempadan, sementara baki seluas 5,987 hektar kekal di bawah pentadbiran Indonesia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
