3 tahun tak pernah 'rasa' uniform sekolah baharu

Mazuriani (kiri) membantu Nor Syazlin Natasya (tengah) mencuba baju sekolah.
Mazuriani (kiri) membantu Nor Syazlin Natasya (tengah) mencuba baju sekolah.
A
A
A

KOTA BHARU - Setelah tiga tahun tidak ‘merasa’ memakai uniform sekolah baharu, seorang kanak-kanak akhirnya gembira menjadi penerima bantuan persekolahan yang membolehkannya membeli pakaian itu untuk memulakan sesi pembelajaran 2024, di sini pada Ahad ini.

Kanak-kanak itu, Nor Syazlin Natasya Mat Daud, 11, murid Tahun Lima menerima Sumbangan Kembali ke Sekolah 2024 daripada Yayasan Felcra dan badan bukan kerajaan (NGO) Kids Kelantan.

Ibunya, Mazuriani Mohamad, 41, berkata, walaupun pembelian dibuat pada tempoh ‘kritikal’ dua hari sebelum sekolah bermula, anaknya tetap berasa teruja kerana sudah lama tidak memakai baju sekolah baharu.

Nor Asniza (tiga dari kanan) yang turut sama menemani para penerima membeli-belah di Tunjong.
Nor Asniza (tiga dari kanan) yang turut sama menemani para penerima membeli-belah di Tunjong.

“Tiga tahun tidak membeli baju sekolah dan hanya memakai uniform terpakai yang didermakan daripada kenalan atau saudara-mara.

“Kali ini, dengan bantuan RM150 yang diperolehi ini dapat membeli set uniform, botol air, beg sekolah dan pensil warna yang semuanya dirasakan mahal serta tidak pernah dibeli sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Program Kembali ke Sekolah 2024 di Mydin Tunjong di sini, pada Jumaat.

Menurut Mazuriani, suaminya, Mat Daud Yaakob, 70, yang bekerja sebagai buruh kasar hilang pendapatan sejak bulan Disember tahun lalu akibat terjatuh dari ketinggian 2.4 meter ketika bekerja.

Dia yang ditinggal di Kampung Seneng, Alor Pulai, Jelawat, Bachok itu pula hanya berpendapatan tidak tetap dengan upah RM30 setiap kali bekerja mengasingkan ikan di Tok Bali.

Artikel Berkaitan:

“Suami saya masih lagi sakit dan tidak dapat bekerja bagaimanapun saya pernah menerima bantuan am daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) berjumlah RM1,600 tahun lalu.

“Duit itu digunakan untuk makan dan minum selain wang saku untuk anak-anak ke sekolah,” katanya yang mempunyai empat anak dengan tiga yang masih bersekolah.

Nor Syazlin Natasya (kiri) yang begitu terjua membeli kelengkapan sekolah bersama Mazuriani (kanan).
Nor Syazlin Natasya (kiri) yang begitu terjua membeli kelengkapan sekolah bersama Mazuriani (kanan).

Tambahnya, dua lagi anaknya pula hanya menggunakan uniform sedia ada untuk kembali ke sekolah namun dia tetap bersyukur selain percaya akan sentiasa ada rezeki buat mereka.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Felcra Berhad, Nor Asniza Mamat berkata, pada program itu seramai 70 penerima bertuah yang terpilih bagi menerima sumbangan RM150 setiap seorang itu dengan keseluruhan nilai berjumlah RM10,500.

Katanya, keutamaan pemilihan penerima diberikan kepada golongan B40, ibu tunggal dan juga anak-anak yatim.

“Program mendapat sambutan walaupun dilaksanakan pada saat-saat akhir sebelum sesi persekolahan bermula hingga kami terpaksa menolak sebahagian yang memohon.

“Mereka yang menerima bantuan ini termasuk dari Bachok, Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu dan Pasir Puteh yang kebanyakannya pertama kali serta benar-benar memerlukan pertolongan membeli barangan persekolahan,” katanya yang turut memberitahu yayasan sama bakal memberi bantuan keperluan Aidilfitri akan datang untuk penerima berbeza di Kelantan.