'Beri maklumat tepat dakwaan lebih 1,400 kanak-kanak ditahan' - Saifuddin

Saifuddin Nasution (duduk, tengah) pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKKP) Kedah di Anak Bukit, Alor Setar pada Rabu.
Saifuddin Nasution (duduk, tengah) pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKKP) Kedah di Anak Bukit, Alor Setar pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempersoalkan sumber yang diperoleh oleh Pertubuhan hak asasi antarabangsa, The Human Rights Watch yang mendakwa lebih 1,400 kanak-kanak ditahan di 20 pusat tahanan imigresen di seluruh negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, beliau mengetahui jumlah tepat kanak-kanak di setiap depoh dan sebahagian telah dipindahkan ke Baitul Mahabbah bagi penjagaan yang lebih baik.

Menurutnya, dakwaan tersebut pertama kali didengar dan mahu pertubuhan tersebut menyatakan dengan jelas di mana berlakunya penahanan kanak-kanak berkenaan.

"Apakah sumber mereka? Di mana insiden yang dikatakan ini berlaku? Di mana insiden ini dilaporkan?

“Mereka (The Human Rights Watch) tidak boleh begitu sahaja (membuat tuntutan), kita ada 19 depoh imigresen dan saya tahu dengan tepat jumlah kanak-kanak di setiap depoh ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKKP) Kedah di Anak Bukit, di sini.

Jelas Saifuddin, lokasi sebenar depoh imigresen yang terlibat dalam dakwaan itu perlu dinyatakan bagi tindakan sewajarnya diambil.

"Mereka perlu nyatakan depoh imigresen mana, sama ada di Semenyih atau KLIA. Sila berlaku adil dan berikan butiran untuk kami mendapatkan maklumat tepat," ujar beliau lagi.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah media pada Rabu melaporkan, The Human Rights Watch mengatakan seramai 1,467 kanak-kanak telah dikurung di 20 pusat tahanan imigresen di seluruh negara setakat September lalu.

Saifuddin Nasution (tengah) bergambar bersama tetamu dan Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKKP) Kedah di Anak Bukit, Alor Setar pada Rabu.
Saifuddin Nasution (tengah) bergambar bersama tetamu dan Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKKP) Kedah di Anak Bukit, Alor Setar pada Rabu.

Menurut badan bukan Kkerajaan itu, kanak-kanak di depoh sering menghadapi penderaan, termasuk penafian rawatan perubatan, makanan yang tidak mencukupi dan keadaan yang tidak baik.

Organisasi itu juga mendakwa, dua pertiga daripada kanak-kanak yang ditahan tidak ditemani atau dipisahkan daripada keluarga mereka dan kadang-kadang dihantar pulang ke negara asal mereka bersendirian.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Saifuddin berkata, tidak berlaku sebarang kesesakan di depoh imigresen.

Menurutnya, kesesakan di depoh imigresen berlaku hanya semasa tempoh pandemik Covid-19 kerana tidak dapat menghantar pulang tahanan ke negara masing-masing.

"Pada masa ini terdapat 19 depoh dengan 13,000 penghuni. Di manakah kesesakan? Tidak ada," ujar beliau.

Tambahnya, warga asing yang ditahan di depoh imigresen menjalani pengesahan dokumen dan mereka yang mempunyai dokumen sah dibebaskan.

"Pada masa ini, terdapat banyak serbuan, tetapi setelah dianalisis, kami mendapati kira-kira 80 peratus tahanan didokumenkan dengan baik dan hanya kira-kira 20 peratus adalah tidak sah dan mereka ditahan.

"Jika dokumen mereka sah, kami membebaskan mereka," katanya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!