Cadangan jual kepentingan Affin Bank imbangi portfolio pelaburan LTAT

LTAT memegang kepentingan efektif sebanyak 48.7 peratus dalam Affin Bank.
LTAT memegang kepentingan efektif sebanyak 48.7 peratus dalam Affin Bank.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cadangan penjualan sebahagian kepentingan Affin Bank adalah untuk mengimbangi semula portfolio pelaburan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berdasarkan sasaran yang ditetapkan dalam Rangka Kerja Perumpukan Aset Strategik LTAT, menurut Kementerian Pertahanan.

Kementerian itu juga berpandangan cadangan tersebut adalah tindakan yang wajar dan merupakan keputusan pelaburan yang memberikan pulangan positif dalam bentuk dividen yang berdaya saing dan mampan kepada pencarum.

Pada masa ini, LTAT memegang kepentingan efektif sebanyak 48.7 peratus dalam Affin Bank.

"Cadangan pelepasan sebahagian kepentingan ini disasarkan kepada pemegang taruh yang mempunyai kemampuan kewangan yang kukuh akan memberi nilai tambah yang lebih tinggi kepada bank tersebut dalam bentuk pertumbuhan perniagaan dan peningkatan keuntungan bagi tempoh jangka masa panjang,” menurut kementerian dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Ia bagi menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) yang ingin tahu mengenai rasional pelan penjualan Affin Bank Berhad yang merupakan entiti pelaburan di bawah LTAT yang berjaya mencatat keuntungan setiap tahun dengan keuntungan dividen yang dibayar kepada pencarum tentera di LTAT.

Menurut Kementerian Pertahanan, LTAT juga masih menjadi pemegang saham yang signifikan dalam Affin Bank jika penjualan itu dimuktamadkan.

Sebagai sebuah dana persaraan, LTAT harus mementingkan kepelbagaian aset dan menguruskan pelaburannya dengan mengutamakan kestabilan dana dan pulangan yang berterusan.

"Sebarang cadangan pemindahan pegangan saham tertakluk kepada kelulusan badan-badan pengawal termasuk Bank Negara Malaysia sebagai langkah pematuhan kepada tadbir urus korporatnya,” menurut kementerian itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!