Dilema tadarus dan khatam al-Quran

Kedua-duanya menjadi amalan ‘wajib’ dilakukan umat Islam ketika Ramadan, manakah yang lebih afdal?

BERDAMPINGLAH dengan al-Quran dan khatamlah walaupun sekali dalam bulan Ramadan ini. -Foto: 123rf
BERDAMPINGLAH dengan al-Quran dan khatamlah walaupun sekali dalam bulan Ramadan ini. -Foto: 123rf
A
A
A

BERTADARUS dan khatam al-Quran ketika Ramadan. Dua perkara itu menjadi antara amalan ‘wajib’ dilakukan bagi diri sebahagian besar umat Islam apabila masuknya bulan mulia tersebut.

Malah, sudah ada kumpulan WhatsApp ditubuhkan semata-mata untuk menjayakan program seumpama itu bersama keluarga mahupun rakan-rakan kariah atau teman sepejabat.

Berbanding mengaji sendiri, auranya sedikit berbeza andai kalam ALLAH itu dibaca secara bertadarus. Apatah lagi ada individu lain yang lebih mahir menyemak bacaan kita.

Pada masa itu juga, ramai orang berpusu-pusu meningkatkan momentum ibadah masing-masing hingga ada yang berjaya khatam al-Quran walaupun sekali.

Melihat ramai melakukan sedemikian, ia menyuntik semangat dan motivasi untuk kita melaksanakannya pada bulan Ramadan dijangka bermula 12 Mac ini.

Baik bertadarus mahupun mengkhatamkan al-Quran, kedua-duanya pasti ada imbalannya sendiri yang wajar direbut sepanjang sepurnama bulan mulia itu menjadi ‘tetamu’ kita.

Antara kedua-dua amalan tersebut, mana satu sebenarnya paling utama dilakukan Ramadan ini?

Salah faham maksud

Artikel Berkaitan:

Sinar Islam mendapatkan Pensyarah Kanan Wacana Aqidah, Fiqh dan I’jaz Al-Quran, Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman mengajak beliau berbicara lanjut tentangnya.

DR MOHD SUKI
DR MOHD SUKI

Sebelum mengupas mengenainya, beliau terlebih dahulu memperincikan maksud khatam dan tadarus al-Quran dalam erti kata sebenarnya.

Ini kerana masih ramai yang salah faham dengan definisinya lebih-lebih lagi dalam bab khatam al-Quran.

Menjelaskan pengertian tadarus al-Quran, katanya, ia bermaksud kita membaca kalamullah secara berkumpulan sekurang-kurangnya dua orang.

“Bukan sekadar mengaji, tetapi juga menyemak dan memperbetulkan bacaan. Ia berbeza dengan tilawah ataupun baca al-Quran yang mana kita mengaji berseorangan atau membaca beramai-ramai.

“Sedangkan tadarus pula ada unsur pembelajaran memandangkan perkataan tadarus itu sendiri berasal dari kalimah darosa dalam bahasa Arab yang bermaksud mempelajari.

“Bila seseorang membaca dalam kumpulan, yang lain kena dengar dan betulkan kesilapan bacaan. Dalam kumpulan itu, mesti ada seorang yang pandai atau lebih mengetahui tentang ilmu baca al-Quran atau tajwid dan sebagainya supaya dia dapat memperbetulkan bacaan. Itulah maksud tadarus,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam baru-baru ini.

 SELAIN bertadarus dan khatam al-Quran, tambah nilailah amalan kita itu dengan bertadabbur iaitu menghayati serta mengamalkan apa yang terdapat dalam kitab suci berkenaan. -Foto: 123rf
SELAIN bertadarus dan khatam al-Quran, tambah nilailah amalan kita itu dengan bertadabbur iaitu menghayati serta mengamalkan apa yang terdapat dalam kitab suci berkenaan. -Foto: 123rf

Bagaimanapun, kebanyakan masyarakat menganggap tadarus sebagai membaca al-Quran sehinggakan mereka membahagikan juzuk-juzuk tertentu kepada kumpulan masing-masing untuk dikhatamkan.

Memperbetulkan salah faham itu, Mohd Sukki menjelaskan, andai situasi tersebut berlaku, ia tidak dikira sebagai khatam al-Quran dalam maksud yang sebenar.

Ketahuilah bahawa maksud khatam al-Quran itu sendiri adalah apabila seseorang menamatkan bacaan al-Quran dari ‘kulit ke kulit’ mashaf iaitu bermula dari Surah al-Fatihah hingga Surah an-Nas.

“Jadi mereka yang membahagikan juzuk kepada kumpulan atau individu tertentu untuk dihabiskan bacaan itu sebenarnya hanyalah ‘khatam’ berjemaah, bukan dinamakan sebagai khatam al-Quran (dalam istilah sebenar-benarnya).

“Apa pun, ia tiada masalah (bahagikan juzuk) untuk memberi galakan kepada orang untuk membaca kalam ALLAH andai ia dilakukan secara berjemaah dan kemudian dibuat pula majlis khatam al-Quran,” ungkapnya.

Bulan diturunkan al-Quran

Antara khatam dan tadarus al-Quran, mana satu yang lebih afdal dilakukan pada bulan Ramadan nanti?

Menjawab persoalan itu, Mohd Sukki yang juga Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang menjelaskan, apa sahaja perkara yang berkaitan dengan al-Furqan sememangnya sangat baik kerana Ramadan ialah bulan diturunkan kalamullah yang suci itu.

 SESEORANG dikira mengkhatamkan al-Quran jika mereka membacanya bermula Surah al-Fatihah hingga selesai Surah an-Nas. -Foto:123rf
SESEORANG dikira mengkhatamkan al-Quran jika mereka membacanya bermula Surah al-Fatihah hingga selesai Surah an-Nas. -Foto:123rf

“Kita baca al-Quran hingga khatam pun ‘cantik’ kerana para ulama silam memperbanyakkan amalan itu pada bulan Ramadan iaitu membacanya dari Surah al-Fatihah hingga tamat Surah an-Nas.

“Pada masa sama, bertadarus al-Quran pada bulan Ramadan juga bagus kerana ia sering dilazimkan oleh Rasulullah SAW yang bertadarus bersama Malaikat Jibril AS.

“Seperkara lagi, tambah nilailah amalan kita tadi dengan bertadabbur al-Quran iaitu kita baca, faham, hayati dan amalkan apa yang terdapat dalam kitab suci berkenaan,” jelasnya.

Sambil bertadarus, Ahli Jawatankuasa Pengawalan Akidah Majlis Agama Islam Selangor itu berkata, alangkah indahnya andai kita dapat mengkhatamkan al-Quran secara peribadi walaupun sekali dalam bulan Ramadan.

“Bukan apa, bila lagi kita dapat berbuat demikian selain bulan Ramadan yang begitu kuat ‘aura’ bulan diturunkan al-Quran itu?

“Jadi, ambillah kesempatan bulan mulia itu untuk kita berusaha khatam al-Quran secara individu, di samping meneruskan program-program bertadarus,” titipnya.

Sebelum menoktahkan bicaranya, Mohd Sukki mengemukakan sepotong hadis buat renungan kita bersama.

Rasulullah SAW bersabda: “Bacalah al-Quran. Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya.” (Hadis Riwayat Muslim)